Rae, Wadi dan Maya. 1



RAE. R-A-E. Sebutannya bukan seperti perkataan Inggeris ‘rare’ tetapi ‘ra-e’. Seorang pemuda biasa yang kita akan lihat dihadapan kaunter pembayaran kedai serbaneka. Tidak gempal dan tidaklah pula se sasa mana, tidak rendah dan tidaklah pulak setinggi mana. Lelaki biasa dengan rambut ikat kuda merapikan kekemasan diri. Itulah Rae the average guy.
  Dari luaran kita akan nampak Rae seorang yang sinikal dan sombong. Sebagai contoh;
  “Terima kasih, bang.” Kau kutip baki duit syiling sambil senyum manis pada dia setelah habis urusan pembayaran di kaunter.
  Dia takkan sebut sama-sama dan membalas senyuman kau pun. Dia akan menjeling dengan muka jelik. Kemudian menyambung kerja dia melayan pelanggan belakang kau pula. Kau pula, panas hati tak mahu lagi pergi ke kedai serbaneka  7-Eleven kawasan Bandar kau ini.
  Disebabkan hal itu, Bos serba salah nak berhentikan Rae si average guy kita ini sebab dialah pekerja yang terbaik. Datang kerja tak pernah lambat masukkan punch card. Habis masa kerja sentiasa tepat. Kerja mengemop lantai dan lap cermin serah pada dia. Tidak sampai sejam, kedai serbaneka 7-Eleven ini akan berkilat berseri-seri.
 Tahu masalah itu, Rae buat keputusan untuk bekerja pada waktu shif malam dari 11 malam sehinggalah 7 pagi.
  Yalah, waktu shif malam kurang pelanggan jadi kuranglah pelanggan panas hati. Lagi kuranglah susah hati boss.
  Nak dimulakan kisah, kerja shif malam memang membosankan. Tiada pelanggan. Hanya dia dan seorang pekerja yang suka curi tulang. Kalau tiada pelanggan dia akan susun barang ke rak jualan. Yang pencuri tulang pulak, lantaklah peduli apa Rae. Cukup bulan dia dapat gaji dah cukup untuk dia.
  Pelanggan datang dua tiga kali saja satu malam. Dua tiga kali juga dia pernah menjadi cashier untuk ahli kumpulan kongsi gelap. Bagaimana dia boleh tahu?
  Tengah malam-malam buta ada ke yang keluar pakai segak dalam sut hitam? Samseng kongsi gelap saja yang pakai begitu, lagi-lagi daripada cacahan kulit yang dia boleh lihat di leher mereka.
  Paling dia selalu nampak kumpulan kongsi gelap yang mempunyai tattoo seperti rantai choker bewarna hitam di leher mereka. Ringkas juga tattoo gangster zaman sekarang, tak payah mahu bertatoo naga, harimau atau pun singa besar-besar satu badan seperti Yakuza  di Jepun.
  Dengar daripada mulut pelanggan mereka, itu kumpulan bertatoo begitu yang berkuasa bertapak di Bandar ini.
  Rae tidak risau jika mereka datang sebab bukan setiap masa keluar  taring perangai samseng mereka. Jadi tidaklah dia kisah.
  Tapi paling Rae tidak suka ialah, p-e-r-o-m-p-a-k. Perompak yang tiada angina tiada ribut, tiba-tiba sergah depan muka Rae  dengan hala pisau pada dia. Waktu malam-malam buta begini memang tak da kerja nak cari nahas dengan orang.
   Sebab pertama kenapa dia tidak suka perompak, mereka menyusahkan. Ambil duit orang, cederakan orang tak bersalah kemudian buat sepah kedai pula. Ambil sajalah duit tak payahlah buat orang lain kena buat dua kali kerja.
  Sebab kedua;
   Pernah sekali datang seorang lelaki ni semasa kerja shif malam Rae seorang diri, berhoodie di kepala, masuk  terus menuju ke tempat peti minuman. Dia mengambil sekotak susu lalu menuju pada kaunter pembayaran. Rae membuat rutin scan bar kod untuk memeriksa harga sekotak minuman.
   Seusai Rae sebut harga yang perlu dibayar, Rae sedar sesuatu; pemuda berhoodie dihadapannya nampak resah. Tangan masih tersorok pada kocek baju panas dan masih tak mengeluarkan dompet mahupun duit untuk dibayar.
  Rae pandang tepat pada mata pemuda dihadapannya. Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol kemudian dihalakan pada muka Rae.
  Rae terkaku sekejap kerana nak cuba memahami situasi yang dihadapinya. Bila sedar sekarang kedai serbaneka ini dirompak, Rae dengan tenang membuka mesin kira duit
 Si perompak perhatikan Rae kini sedang membuka mesin kira duit
    “Kau nak duit, kan? Nah amik pergi jauh-jauh jangan ganggu kedai ni.” Belum sempat perompak dihadapannya mengarahkan untuk berikan duit, Rae sudah mengeluarkan duit dari mesin duit dengan tenang. Siap dimasukan dalam beg plastik lagi kartun susu yang diambil.
    “Apasal kau tak takut?”
  “Buat apa nak takut dengan orang tak ada masa depan. Dah dapat duit kan? Pergi jauh dari sini.”
  Perompak tu bengang dengan kata-kata Rae. Tak semena-mena dia tepis dan tolak segala barang jualan yang tersusun berdekatan kaunter. Kemudian menempik untuk menakutkan Rae.
  “ Sekarang takut?”
   “Aku baru kemas barang dekat rak tu!” Mengharapkan si cashier takut namun ini bukan yang dia harapkan. Cashier dihadapannya berteriak marah sebab si perompak telah menyepahkan rak jualan.
   “Apasal tak takut?”  Si perompak hairan. Ditendang sekuat tenaga rak jualan, terus rak jualan jatuh berdebuk dengan segala produk bersepah.
   “Kau pergi dari sini, jangan harap nak amik duit ni!” Dihalau perompak tu keluar. Bengang sungguh bila melihat barang tersusun cantik diatas rak telah bersepah di lantai, dia menyimpan kembali wang ke dalam mesin duit.
  “Hoi! Bagi duit tu pada aku!” Terkejut dengan tindakan Rae. Pantas si perompak tersebut menghalakan muncung pistol pada Rae. Rae tidak gentar, dia terus menyusun wang yang terdapat dalam plastic tadi kembali ke dalam mesin kira  “Bagi duit tu pada aku kalau tak aku tembak!” Ugut si perompak.
  “Its done, aku akan tolong bayarkan air kotak ni. Kau boleh pergi dari sini.” Walau ada muncung pistul menuju padanya Rae dengan tidak gentar langsung melakukan urusannya.
  “Apasal kau tak takut?!” Sungguh hairan perompak tengok Rae langsung tak beralih dari arah muncung pistol. Daripada dia keluarkan pistol ini dihadapan Rae, riak si cashier ini tiada gentar langsung. Wajah Rae merah menahan marah yang membakar di dada. Kedua belah tangan tergenggam erat menahan rasa yang terbuar-buar kini.
  “Aku tak takut sekarang, aku tengah marah. Kau takkan suka tengok aku marah.”
  Si perompak tergelak mengejek. “Kau nak jadi hulk ke?”
  “Tak.” Tiba-tiba  mata Rae terbuka luas, biji matanya bertukar merah semerah biji saga. Mulut yang tergetap menahan marah tiba-tiba menjadi seringai. Gigi yang tersusun rapi berubah bentuk menjadi ronggang dengan gigi-gigi taring tajam nan memanjang. Mata si perompak terbuntang.
  Tapi apa yang lagi menakutkan ialah kepala Rae tiba-tiba terpisah dari badan. Si perompak terkaku. Pistol yang tadi lurus menghala pada Rae kini terlepas jatuh ke jubin lantai. Menggigil tangan dan satu badan melihat  segala organ dan isi perut yang terburai keluar daripada leher pemuda cashier di depannya kini.

   Sebab kedua mengapa Rae tidak suka perompak adalah mereka suka buat Rae marah. Bila Rae marah bukan jadi Hulk tapi PENANGGAL!

= = = ==== = = =

Comments

Popular Posts