Hati dan Rahsia 6



Rumah Tok Lan, Pulau Dahan.
Malam.

PURNAMA di malam hari nampak seram jika tiada bintang memagarinya. Lagi-lagi sunyi planet itu ditemani lolongan anjing liar Pulau Dahan. Meremang bulu roma bila merasai suasana begitu. Namun suasana begitu tidak pernah menggugat jiwa setiap pelajar silat. Pelajar mahupun guru mereka masing-masing memakai pakaian silat mereka yang serba hitam. Apa yang membezakan adalah warna bengkung di pinggang mereka. Sebuah gelanggang bulat seluas separuh gelanggang badminton menjadi tempat para pelatih silat ligat berlatih dan belajar setiap gerak tangkas guru mereka walau cahaya hanya bersumberkan lampu kalimantang sebuah rumah kampung di depan gelanggang tersebut.
  "Hiyargh!"
  Kedebuk! Bunyi kuat tubuh jatuh ke tanah membuatkan beberapa pelatih di situ tersenyum-senyum. Ada juga yang turut melopong kagum. Kelihatan satu susuk tubuh berbengkung putih terlentang di tanah manakala seorang lelaki susuk rendah berbengkung merah kaku sekejap dalam gaya yang sama selepas menghumbankan tubuh yang terlentang tadi.
    Dengan tertib gerak silatnya, lelaki berbengkung merah kembali berdiri tegak. Wajah dingin Irfan menjadi tumpuan pelatih kumpulannya. 
  "Itu langkahnya untuk humban penyerang kamu ke belakang. Boleh tangkap tak?"  
   "Cikgu.. ganas sangat. Buat perlahan-lahan. Kita orang tak nampak macam mana.." Tegur salah seorang pelatihnya yang lebih besar tubuhnya.
  "A'ah, sebelum ni elok aje Cikgu ajar. Seram kita orang." Tambah pelatih yang lain. Pelatih tersebut membantu lelaki yang telah dia humban tadi. Mimik wajah lelaki itu jelas masih sakit. Tubuh aje genit macam budak sekolah rendah tapi kuat dan tangkas macam harimau!
   Irfan diam. Betul kata pelajarnya. Selama ini, diajar mereka dengan baik dan taklah garang. taklah ganas. Tapi malam ini Irfan lain sikit. Mungkin sebab kejadian petang tadi. Masih tak boleh lupa. Kusut dibuatnya. 
  Dipandang 5 wajah penuntut yang belajar dengannya. Dibuang pandang pula ke tempat lain, dapat dengar juga bunyi jeritan dari penuntut yang bukan dari kumpulannya.
  Hebat-hebat setiap langkah yang di bawa pesilat-pesilat di situ. Kemudian pada seorang lelaki separuh abad di hujung pandangannya. Duduk bersila memerhatikan setiap pendekar di beranda. Menyedari lelaki tua itu diperhatikan oleh Irfan, si tua itu menoleh pada Irfan lantas tersenyum.
   "Kalau saya yang kecik ni boleh humban awak yang besar. Lebih baik kamu semua sedar sekarang, barang secantik batu intan pun boleh jadi senjata berbahaya." Tiba-tiba Irfan bersuara dengan mata masih menatap ke arah orang tua itu. Seperti ada hubungan telepati dengan orang tua itu, wajah Irfan berubah sedikit yakin dari dingin.
  "Huh?" Ahli kumpulan Irfan bingung. Tak faham satu patah pun kata-kata Irfan tadi.
  "Kalau pepatah jangan disangkakan air yang tenang tiada buaya faham tak?" Pandangan Irfan dilontar balik kepada pelatihnya.
  "O'oh, maksud Cikgu sekecik Cikgu pun jangan di pandang rendah atau tak bahaya?" Soal pelajarnya yang dihumbankan oleh Irfan tadi. Cuba untuk memastikan jawapannya betul.
  "Itulah maksud saya." Jawab Irfan. Tersenyum.
  "Habis yang pasal batu permata tu, Cikgu fikir Cikgu secantik permata intan ke?" Balas penuntut yang sama menyebabkan kumpulannya  yang hanya berlima ketawa. Riak Irfan berubah sedikit. Agak merah.
  "Nak saya humban kamu lagi?" Dengan kening sebelah terjungkit. Irfan membalas dalam nada mengugut. Serta-merta kumpulannya senyap. Lima pelajar Irfan semua bersaiz lebih besar dari tubuh Irfan, tapi hormat mereka lebih tinggi kerana remaja lelaki itu hebat dalam silat di Pulau Dahan. Usia semuda 16 tahun sudah boleh jadi guru silat.
  "Jangan nak ketawa lagi, tengok lagi sekali langkah saya. Lepas tu kamu buat. Mintak tunjuk lagi sekali saya humban kamu semua." Tambah Irfan lalu mula membuka kekudanya. menunjukkan langkahnya dengan perlahan. Mimik Irfan yang tadi tenang dan tersenyum terus berubah dingin dan tegang semula. 


"SELALUNYA kamu belajar mereka semua elok aje, kenapa malam ni lain macam?" Tegur lelaki tua yang dia pandang sewaktu latihan tadi. Dia mendekati Irfan yang sedang mengemas barangnya untuk pulang.
   Kelihatan juga beberapa pesilat meninggalkan ruang gelanggang silat itu sama ada berjalan kaki atau menggunakan motorsikal. Memandangkan rumah guru silatnya  jauh selang tiga rumah Irfan tidak perlu jauh berjalan untuk pulang ke rumah.
  Irfan mengangkat wajah memandang lelaki tua itu. Berpakaian serba hitam sepertinya.
  "Taklah Tok Lan, saya tegas dengan mereka pun sebab tak lama lagi ada ujian bengkung, kan?" Balas Irfan membalas alasan yang agak munasabah.
  Lelaki tua yang dipanggil Tok Lan itu hanya mengulum senyuman. Tidak membalas apa-apa. Dia tahu ada benda lain Irfan sorok. Dua jam latihan yang menjadi rutin Irfan setiap malam Jumaat dan Sabtu. Lelaki tua itu kenal anak muda di hadapan ini sejak kecil. Arwah bapa Irfan yang menghantar anak muda itu menuntut ilmu persilatan silat dengannya. Hasilnya, pada umur 16 tahun sudah boleh menjadi guru silat untuk pesilat yang baru belajar.
   Irfan memandang lelaki tua itu dengan pandangan tidak percaya Dia tunduk, mencapai lampu suluh cap Harimau yang berada di atas tanah
   "Ada-ada aje Tok Lan ni."
   Tok Lan ketawa kecil. "Tok Lan takkan tegur kamu sekarang ni kalau kamu tak pandang Tok tadi."
  Disarungkan beg galas. Dalam otak hanya terbayang wajah lelaki di resort petang tadi. Roman itulah yang mengusutkan fikirannya!
  "Sebenarnya.. saya ada masalah dengan Tuan Jamal." Jawab Irfan pendek  dan berdusta. Gila apa aku nak cerita ada pengunjung Pulau Dahan ni seekor makhluk penghisap darah?
  "Dengan Tuan Jamal?"
  "A'ah.. dia naik hantu tiba-tiba dekat pejabat. Semua pekerja dia cari salah. Termasuk saya dimarahnya jugak." Tambah Irfan berdusta lagi. Namun begitu, ada bahagian yang benar belaka.
  "Hmm.. mungkin tertekan agaknya dengan isteri dia tu." Ucap Tok Lan sambil mengurut-ngurut janggut putih sejemputnya.
   Irfan pandang sekilas lelaki tua itu dengan ekor mata. Uiih.. cepatnya angin busuk tersebar. Tahu aje yang Puan Huda main kayu tiga. Ini mesti si Sotong Hakim dan mulut kepohnya punya kerja.
   "Tapi tak boleh fikir bukan-bukan. Harap-harap mereka berdua selesaikan masalah mereka dengan baik." Tambah Tok Lan. Irfan sekadar mengangguk. Setuju benar dengan kata-kata Tok Lan.
  "Tok Lan.." Panggil Irfan.
  "Apa dia?"
  "Kalaulah kan, Tok Lan dapat tahu ada bahaya yang akan datang pada Nek Leha kesayangan Tok tu. Apa Tok akan buat?" Dipandang sekilas kearah wanita tua yang sedang mengemas beranda. Isteri Tok Wan itu tersenyum sekejap apabila Irfan dan Tok Lan pandang tadi.
  "Tentulah Tok akan lindungi dia. Takkan lari biarkan Nek Leha. Kenapa tanya?"
  "Cuma tanya aje." Memang itu aku akan buat. Aku akan lindungi Hanani sekiranya gadis itu dalam bahaya. Wajah Roman bersama senyuman menggodakan kini di dalam kotak minda Irfan. Pemuda itu mendengus. Kau Roman, jika kau sentuh Hanani walau sehelai rambut aku takkan teragak-agak belasah kau! Jerit hati Irfan memberi amaran. Dia tahu lelaki itu bahaya.
  "Tok tahu kamu kusutkan apa sekarang ni. Ini bukan pasal Tuan Jamal kan?"
  "Erk.." Irfan tergamam. Tok Lan tahu pasal Roman?
  "Tuan Jamal tu baik dengan kamu, lagipun kamu bukan kerja pejabat. Dia takkan cari salah kamu. Kamu kerja tukang bersih bilik. Tok tak rasa Tuan Jamal ikut kamu bersih bilik cari salah kamu."
   "Er.. betul kata Tok. Maaf, saya tipu Tok." Irfan menundukkan pandangan.
   Tok Lan tak cakap apa-apa. Tangan kekar itu tiba-tiba memegang bahu Irfan. Menarik pemuda itu dekat pada dia. Mesti tidak mahu semua orang terdengar apa yang dia cakap.
  "Tok tahu apa kamu runsingkan. Tak payah bagi tahu, Tok faham. Semua orang pun tahu pasal dia."
  "Semua orang tahu? Jadi kenapa tak bising? Kan bahaya?" Meluncur laju soalan Irfan. Semua ini memang mengujakan! Memang betul tekaan dia, Tok Lan dan orang lain tahu pasal Roman!
  "Memang bahaya.. lagi-lagi pada kamu."
  "Bahaya pada saya?" Roman nak bahayakan aku bukan Hanani? Dia dapat rasa bulu roma tengkuknya menegak. Ini memang bahaya.
  Sebelah tangan Tok Lan tiba-tiba diletak pada sebelah bahu pula. Kini mereka berdua saling menghadap. Tok Lan mengurut-ngurut dan menepuk-nepuk bahu Irfan. Direnung mata Irfan. Pemuda itu yang tadi rasa seram mula naik hairan. Ini dah macam jurulatih nak bagi galakan semangat pada pesilat pula supaya menang sayembara aje.
  "Tok akan bagi tahu rahsia Tok. Supaya kamu semangat sikit." Ucap Toka Lan kemudian dia  tersenyum sumbing namun penuh rahsia.
   Rahsia tentang Roman ke?
  "Luahkan saja pada orang kamu suka. Itu saja."
  "Huh?" Dahi Irfan berkerut. Ini pasal siapa?
  "Kenapa?"
  "Dari tadi Tok Lan cakap pasal Hanani?"
  "Yalah.. kamu kan dah lama suka dengan jiran kamu. Ke kamu ada benda lain?"
  "Huh, benda lain? Eh tak lah! Betullah cakap Tok! Saya memang risau dan takut dengan Hanani!" Lagi sekali Irfan berdusta. Dalam hati hanya Tuhan saja tahu betapa kelakar semua ini. Ingatkan tentang Romanlah tadi, alih-alih Hanani!
  "Irfan, jangan takut. Jangan jadi pengecut. Kamu kena berani luahkan rasa hati kamu."
  "Tok.. usia saya dengan dia berbeza tau. Malu saya kalau yang badan macam budak sekolah rendah orang kata luahkan perasaan pada dia yang lagi tinggi dari saya." Rasanya dia dah jawap dah jawapan sebegini petang tadi.
  "Kamu tahu tak beza umur Tok dengan Nek Leha?"
  "Beza? Berapa?"
  "Tok lima tahun lagi muda dari Nek Leha."
 Irfan melopong, tidak pernah dia tahu pasal itu!
  Tok Lan tersenyum. Kemudian menepuk-nepuk bahu Irfan. "Kalau dah jodoh, muka buruk, muka cantik, lagi tua, lagi muda, gelap, cerah, tetap jodoh Irfan."
  Wajah tersentak Irfan berubah, seulas senyuman tipis diberikan. "Apa-apa aje lah Tok. Saya balik dulu."
  "Hmm.. hati-hati jalan."
  Disalam  Tok Lan. Kemudian beredar pergi bersama lampu minyak tanah menuju pulang ke rumah yang laluannya gelap. Tok Lan yang dibelakangnya tersenyum lebar. "Anak muda.."Hela Tok Lan sambil menggeleng-geleng.
  Apabila susuk Irfan sudah hilang ditelan gelap malam. Dia berpusing menuju pada sang isteri yang setia menanti duduk bersimpuh di beranda.
  "Ada apa tu bang?" Soal Nek Leha. Dituangkan kopi ke dalam cawan. Walaupun malam sudah larut, tapi minuman berkafein itu sudah menjadi ruji buat lelaki tua itu. Pagi petang siang malam yang dimahukan hanya kopi.
  "Alah.. budak muda." Direbahkan pinggul ke beranda kemudian mendekati Nek Leha untuk mengambil minumannya.
  "Pasal Hanani?"
  "Tahu pun." Balas Tok Lan menandakan tekaan Nek Leha betul. Lalu dihirup kopi tersebut.
  "Dah besar pun anak si arwah Laila tu kan? Dulu masa kenal Irfan tu tak pandai bercakap pun!"
  "Budak kecik memang tak pandai cakap."
  "Ya Irfan waktu tu budak kecik. Tapi masa tu umur dia macam enam tahun, masih tak pandai cakap! Tak ingat ke?" Nek Leha cuba mengingatkan suaminya tentang Irfan. Maklumlah pada usia emas ini, gear otak berkarat agaknya.
  "Pembelajaran tiap budak-budak berbeza Leha. Kadang-kadang ada aje umur satu tahun dah pandai mengaji."
   Nek Leha mengangguk-angguk tanda setuju.
  "Sampai sekarang mayat Laila dan Amrin tak dijumpai lagi." Tiba-tiba Tok Lan mengingati kembali tentang arwah ibu bapa Irfan.
   Nek Leha menoleh pada wajah Tok Lan. Satu Pulau Dahan tahu kisah itu. Kisah sepasang suami isteri yang hilang tanpa berita sejak pergi ke tanah besar. Pihak berkuasa dan penduduk berusaha mencari Laila dan Amrin, namun pencarian mereka menjadi buntu.  Berbulan-bulan si anak menanti tanpa berita. Lalu akhirnya reda dengan pemergian kedua-dua orang yang tersayang.
  "Lepas tu, rasanya ada lelaki mengaku saudara Laila. Ingat tak bang?" Soal Nek Leha. Teringat pula kehadiran seorang lelaki yang mengakui dia daripada keluarga arwah Laila. Memandangkan Laila itu berasal dari tanah besar. Jadi tidak pernah pula nampak keluarga Laila.
  "Oh.. a'ah. Siapa nama budak tu?"
  "Tak ingatlah. Tapi baik budak tu." Lelaki yang disebut-sebut oleh mereka berada di sini hanya tiga bulan sahaja. Kemudian tup tup Irfan kata yang lelaki itu sudah pulang dan sampai sekarang mereka tak juma lagi.
  "Bila balik ke tanah besar tak dengar pulak berita." .
  "Irfan ada cakap lelaki itu dah lama sakit." Nek Leha cuba mengingatkan pula cerita yang sebenar berlaku pada lelaki itu.
  "Oh.." Itu saja yang terkeluar dari mulut Tok Lan kemudian menyambung menikmati minumannya bertemankan Nek Leha dan rembulan penuh di langit malam.
 

 

Comments

  1. Bestlh..
    harap awak dpt habiskn cerita ni...
    jgn mls ye...
    cerita awak mmg best..

    ReplyDelete
  2. Saya akn tunggu ceritanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. @lisanna, in sha allah :)
      terima kasih sebab sudi dating ke blog Leto :)

      Delete
  3. Sama sama.. terima kasih juga membalasnya... saya suka membaca cerpen Leto.. ia best ^_^..
    Jga kesihatan ye penulis Leto

    ReplyDelete
  4. Sama sama.. terima kasih juga membalasnya... saya suka membaca cerpen Leto.. ia best ^_^..
    Jga kesihatan ye penulis Leto

    ReplyDelete
  5. Maaf ye tetapi bila mahu menyambung cerita ini lagi?

    ReplyDelete
  6. Maaf ye tetapi bila mahu menyambung cerita ini lagi?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts