Hati Dan Luka Bhgn 3



      MELODI Moonlight Sonata mengisi ruang sepi kafe. Lembayung merah sudah menghiasi dada langit dan tidak lama lagi langit akan melabuhkan tirai malamnya.Lima pelanggan melangkah pergi meninggalkan kafe.Aku yang berdekatan dengan pintu kafe menghadiahkan senyuman manis kepada mereka sambil mengucapkan - terima kasih dan lain kali datanglah lagi.

    Mereka membalas dengan senyuman manis juga. Ada juga yang tidak lepas memandang wajahku dan senyumanku.Maklumlah,kelima-lima pelanggan itu lelaki semuanya...siapa tidak tertarik memandang wajah wanita yang manis seperti aku? Perasannya aku..     

    Seusai kesemua pelanggan tiada di dalam Villa's Cake,aku mengeluh berat.Sejak bila pulak aku dapat kelayakan untuk menjadi pelayan kafe Encik Zakaria? Aku melihat apa yang kupakai,apron perang yang tertulis Villa's Cake di bahagian kanan dada.      
   
    Belum sempat tadi kami berbual-bual atau berkata-kata tentang setelah dia menegurku,tiba-tiba sahaja pelanggan-pelanggan melangkah masuk.Bukan dua-tiga orang yang datang tetapi tiga dozen orang!Apalagi... Encik Zakaria kelam-kabut tak cukup tangan untuk melakukan kerja. Aku lihat betapa dia tak mampu nak menguruskan pelanggan. Disebabkan kasihan bertakhta dalam hatiku, lagi-lagi aku pula sedang kebosanan lebih baik aku membantunya. Jadilah aku,sukarelawan pelayan kafenya.       

      "Minta maaf sebab menyusahkan awak Cik Azalea," tegur Encik Zakaria. Aku menoleh ke arahnya yang berada di dapur, dia mendekatiku sambil mengelap tangannya yang basah dengan kain yang terselit di kocek apron. Ada senyuman menghiasi bibirnya. Aku tertegun. Cepat-cepat aku melarikan pandangan ke tempat lain. Pipiku merona merah, dalam hati bergumam~Azalea,jangan pandang dia! Senyuman dia terlalu berkilau!       

     "Er..saya ikhlas,lagipun dua minggu dekat kampung bosan jugak tak buat apa-apa," ucapku dengan wajah terarah kehadapannya namun mata tidak langsung menatap wajahnya. Hanya memandang rambut tepinya, yang terjuntai-juntai tidak diselak ke telinga walaupun sudah diikat ponytail.

    Moonlight Sonata yang hampir berada di penghujungnya, kami berdua kembali senyap. Aku memang tidak menyukai keadaan sebegini. Janggal sahaja. Dia kelihatannya sedang mengusap tengkuk dengan senyuman yang tadi manis berubah janggal. Sah,dia tak tahu nak bualkan apa sekarang! Aku pun sama, senyap seribu bahasa. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.Oh ya! Tentang.....     

   “Kenapa awak bertatoo Encik Zakaria? Bukankah haram?”      

  Sewaktu dia mendengar pertanyaanku, tiba-tiba saja dia tertawa. Aku hairan,” Mengapa? Saya ada buat lawakkah ? ”      

   “Mesti awak salah faham, sebenarnya saya seorang Kristian Katolik, Nama saya yang betul,Zachary @ Zakaria Aaron Tan. Ibu saya Portugis - Iban , bapa saya pula Cina . Takkan awak tak tahu? Mamat yang mata merah tu pun dah cakap banyak kali.”      

    "Kalau awak seorang Katolik kenapa awak mesti jadi pembunuh?"serta-merta aku menekup mulutku yang tiba-tiba sahaja menanyakan soalan itu tanpa segan silu. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata, jangan mimpi hendak ditarik balik!     

       Senyumannya serta-merta hilang. Encik Zakaria cepat-cepat melangkah ke depan. "Encik Zakaria nak pergi mana?" mataku mengekori langkahnya dia pergi ke pintu kafe. Lalu mengunci dan menukarkan penanda bewarna putih yang melekat di kaca tingkap dari OPEN ke CLOSED.                      

    Aku terpinga-pinga, kenapa dia mengunci pintu? Encik Zakaria memerhatikan kawasan sekitar luar kafe, sambil itu tangannya pantas melabuhkan tirai langsir bambu bagi menutupi kesemua tingkap kaca kafe. Aku bertambah hairan. Ruang kafe kini agak gelap dan bertemankan pula alunan Lacrimosa daripada Wolfgang Amedues Mozart.Menyeramkan! Ditambahkan lagi, pada waktu itu sang soprano melantunkan liriknya dalam Latin yang aku lansung aku tak faham sepatah haram!     

     "Ke..kenapa Encik Zakaria kunci pintu? Bagaimana saya mahu keluar nanti?" soalku padanya. Dia mendekatiku, kemudian menarikku untuk duduk di kerusi yang berada di tempat agak tersorok. Aku cemas.      

    "Kalau mahu tanya perkara sebegitu jangan sesekali bertanya di tempat sebegini. Orang lain mampu dengar!" katanya dalam nada berbisik. Keras.      

       "Saya minta maaf sebab bertanya pada waktu begini," aku pantas memohon maaf dengan dahi. Dia masih memerhatikan sekeliling walaaupun aku boleh mengesahkan tiada sesiapa langsung yang berada di sini. Paranoid sungguh!        

    Selepas agak  lama, dia duduk di kerusi yang menghadap aku. Kedengaran nafas terlepas daripada rengkungannya.            

     “Jadi benarlah awak seorang pembunuh?” terus sahaja aku mengutarakan pertanyaanku.    

       "Ya." aku dapat mendengar keluhan berat daripadanya kemudian dia bersandar.        

      "Ya?" aku mengedip-ngedipkan mata. Kelihataan wajahnya keruh.     

       "Sejak ibubapa saya meninggal."       

      "Tapi..tapi kenapa?"       

       "Awak tak perlu tahu.Ini masalah saya,"       

     “Sayangnya....,” gumamku.      

     “Kenapa sayang?”       

      “Awak mensia-siakan hidup awak. Perniagaan kafe awak ini saya boleh bayangkan pasti akan mendapat sambutaan yang hebat. Sudah berapa usia perniagaaan ini?” tiba-tiba aku meluahkan pendapatku tentang kafenya.Maklumlah,aku ialah pustakawan yang berangan untuk memasuki kursus rekaan dalaman.                                              

     “Sudah lebih tiga dekad?”      

      “Tiga dekad?!”aku menjerit padanya.Betul-betul terkejut. Beginikah keadaan kafenya selama ini?Selama tiga puluh tahun!Sepi dengan beberapa pelanggan!       

      “Dulu kafe ini memang boleh tahan hebatnya.Tapi itu sebelum kejadian pembunuhan ayah dan ibu saya,”      Aku terdiam seketika apabila mendengar kata-kata Encik Zakaria.

      ”Betulkah?”     

   Dia mengangguk, ”Mulanya, ibu saya meninggal disebabkan kemalangan. Tetapi apabila disiasat, polis laporkan yang sebenarnya ibu kami dibunuh keranaa brek kereta telah dirosakkan oleh seseorang. Ayah pula keluar malam daripada rumah, esoknya tak pulang-pulang. Seminggu kemudian mayat ayah kami dijumpai di pinggir sungai, terdapat beberapa kesan tembakan pada bahagian kaki dan juga kesan lebam di leher tanda di jerut dengan tali.Kejamkan?” dia menoleh kearah tingkap, aku ikut juga menoleh kearah tingkap. Walaupun sudah ditutupi dengan tirai bambu,masih ada jaluran cahaya yang barani-berani saja mencuri masuk.      

     Hatiku mula dipagut simpati. Kasihannya! ” Tetapi kenapa hendak jadi pembunuh?”      

     “Tak sampai dua bulan selepas kejadian itu, polis tutup kes ibu dan ayah. Tak masuk akal sebab kes tersebut baru lagi, kenapa cepat sangat ditutup? Katanya, mereka tidak menjumpai sebarang bukti. Jadi, saya cuba cari bukti sendiri. Tak sangka pula mendiang ayah saya ada meninggalkan dua tiga gambar orang dan fail berisi maklumat yang berkaitan dengan beberapa kes pembunuhan.” Encik Zakaria menyilangkan tangan ke dada. 

    “Saya jumpa dengan dua pegawai yang mengendalikan kes ibu dan ayah. Saya beritahu segala bukti yang saya jumpa dan memberitahu semua tekaan yang saya fikir kepada mereka. Nak tahu apa reaksinya setelah saya ceritakan pada mereka?"

      Aku diam sahaja walaupun dia menanyakan soalan tersebut. Dia terus meriwayatkan kehidupannya yang menyedihkan. Bak kata orang Eropah, such a pathetic life!
      
   “Kelihatan terkejut, mereka merampas fail tersebut dikoyakkan dan membakarnya di depan mata saya. Saya betul-betul terkejut, pelik kalau mereka membakar bukti bagaimana nak mencari bukti yang lain? Sedangkan itu satu-satunya bukti yang boleh dijadikan motif pembunuhan mahupun bukti. Menyesal pula saya tak buat salinan.” sempat pula sambil tersengih sinis.
       
    “Saya tanya kenapa, tetapi mereka meneranjang, menyepak tubuh saya, memaksa saya supaya lupakan kes ini dan jangan sesekali berjumpa dengan pihak atasan.”       

     “Jadi Encik Zakaria berjumpalah?”

     Sempat lagi aku menyelit, dia membalas dengan mengeleng, ”Sejak dari hari itu saya tak boleh nak percayakan pihak polis. Hati saya sakit, luka, berdarah! Sampai sekarang luka itu berdarah. Tak pernah sembuh!” jelas garis kerutan entah marah atau sedih. Matanya ditutup kejap sambil menekap dada. Mungkin saja dia cuba menahan kesedihannya daripada dilihat olehku. Seorang wanita. 

     “Dalam hidup terkontang-kanting, tiba-tiba saja saya diselamatkan oleh kawan ayah ayah, Mr.Louise. Dia kata ibu dan ayah banyak membantu dia, dia berjanji akan membalas jasa dengan membantu saya.Saya tak peduli,saya hanya tanya bolehkah dia mencari dan membantuku untuk membalas dendam terhadap pembunuh ayah dan ibu?” 

     “Mr.Louise cakap boleh?” aku meneka.      
   
   Dia mengukir senyuman agak menyeramkan, menunjukkan tekaanku betul .Aku meneguk liur. Tubuh belakangnya bersandar. ”Dia yang membawa saya ke dunia ni. Dunia ni bantu kehidupan saya dan adik saya.”

     “Encik Zakaria dah jumpa pembunuhnya?”

      “Ya,”ucapnya lalu mengeluarkan sekeping gambar daripada kocek pakainnya.”Orang penting kerajaan,kematian isteri tetapi mempunyai anak perempuan. Saya selalu simpan gambar ini dekat dengan diri saya supaya saya ingat apa tujuan saya hidup sekarang. Membela nasib dan maruah keluarga saya.”

       Diberikan gambar tersebut kepadaku, dalam gambar tersebut yang jelas diambil tanpa pengetahuan dua orang yang berada dalam gambar. Kelihatan seorang gadis dalam lingkungan belasan tahun bersama bapanya yang kemungkinan berada di stadium bola sepak. Ini dijelaskan melalui pakaian jersi kuning berjalur hitam yang dipakai dua beranak tersebut sambil bersorak riang. Semangat Harimau Malayalah katakan..

       Aku agak terpesona dengan kecantikan gadis di dalam gambar ini. Rambut lebat dan beralun, hidung sedikit mancung, bibir merah delima, mata bundar bersama bulu matanya nan lentik dengan keningnya yang lebat. Pasti gadis ini kacukan Arab kerana warna kulitnya taklah seputih orang Kaukasia.Maksudku mat saleh.

      Agak pelik juga ya, kenapa dia menceritakan kehidupannya sedangkan aku adalah orang asing?

     “Oh ya,tentang tadi..kenapa awak cakap ‘sayangnya’?”persoalanku tentang itu serta-merta menghilang apabila dia cuba mengalihkan topik perbualan.

     “Dengan sedikit sentuhan pada kafe Villa’s Cake dan publisiti, saya yakin pasti mendapat sambutan yang menggalakkan. Tapi saya yakin Encik Zakaria tidak pernah lakukan sebab kehidupan  Encik Zakaria..”      

      “..Yang kotor?Pelik?Atau hina?” tekaannya membuatkan aku terdiam serta-merta.

        Dia ketawa, suka apabila mengusikku,” Saya tak kisah awak nak gelarkan apa-apa tentang saya. Saya sudah nekad, selepas hutang langsai, saya akan hidup seperti orang normal dan cuba lakukan perkara yang awak cadangkan itu.”

      “Saya yakin, pasti awak sudah jatuh cinta dengan gadis itu, ”kali ini aku mengusiknya pula sambil menyerahkan gambar tersebut dengan menolak gambar ke depan Encik Zakaria..

     Aku nampak dia merenung pada gambar tersebut dengan tajam,tiba-tiba pipinya kelihatan merah. Dia memandangku pula dengan pandangan tajam tersebut,” Mengarut! Mana mungkin saya jatuh cinta pada perempuan ini sedangkan bapanya adalah pembunuh bapa saya!” susah juga untuk bergurau dengan manusia yang mempunyai dendam dalam hati.

.............................

AKU PULANG waktu itu hampir maghrib, selepas membantu Encik Zakaria menutup kafenya. Selalunya dia akan menutup Villa's Cake sebelum pukul sepuluh tetapi katanya dia ada pertemuan rahsia.Jadi aku tak berapa endahkan sangat. Gilakah aku ini?! Pembunuh upahan berada di depan mata dan menjelaskan segala-galanya tentang hal yang sepatutnya yang dirahsiakan, tetapi mengapa aku biasa-biasa saja?

    Sewaktu aku pulang ke rumah azan Maghrib sudah berkumandang, nenek menyambutku dengan jelingan dan bebelan 'manjanya'. Anak dara tak sepatutnya pulang lewat! Mahu sangatkah kena culik dengan bunian?

    Tetapi bebelan itu masuk telinga kanan,keluar telinga kiri. Nenek sungguh bertuah dapat cucu begini! Fikiranku dari tadi memikirkan tentang riwayat Encik Zakaria. Sesuatu yang menyedihkan,umur sebegitu sudah ada dendam kesumat di hati. Sepatutnya usia remaja sebegitu kita bersama rakan-rakan tetapi dia dengan keparat!

     Usai mandi dan solat, aku melangkah keluar ke beranda bilik. Suasana malam begitu damai walaupun dingin menggigit kulit, bulan kelihatan dilindungi awan.Aku menopang dagu di jeriji beranda sambil merenung langit malam. Indah sungguh ciptaan Tuhan!

      Banyak aku fikirkan malam itu, tentang Zakaria dan Iqmal.Wajah mereka terbayang silih berganti. Mengusutkan saja ruang mindaku ini!

          "Rindu pada siapa si pungguk?Pada bulan?" aku tersentak kerana suara Iqmal. Kutoleh ke kiriku, jelas susuk  Iqmal berada di kananku. Tetamu yang tak diundang itu, tunduk dengan menongkat tangan di jeriji beranda.

         "Bagaimana awak boleh berada di sini?" soalku gugup dan hampir-hampir hendak pengsan saja. Aku mengurut-urut dada untuk menenangkan diri sendiri.Tanpa aku sedar saja, dia sudah muncul di sisiku!Dia senyap saja sambil menoleh memandang diriku.

       "Kebetulan juga ya,saya memang tertanya-tanya bagaimana Iqmal mampu hidup semula?Dah mati hidup semula,menyeramkan!" soalku selepas dia tidak menjawab soalanku tadi. Teringat balik kejadian tempoh hari, bulu roma terasa menegak. Menakutkanlah!

      Dia melepaskan keluhan,mungkin bosan mendengar pertanyaanku ini?"Bukankah saya dah cakap?I'm immortalBut wait.." Iqmal keliru apabila menjawab soalanku. Aku mengangkat kening.

        "Allah creatures is not immortal, saya bukanlah abadi, tapi boleh dikatakan yang berumur panjang atau bertuah. Dicederakan pun tak pernah mati. Banyak kali mati pun tak pernah nak mati. Kalau ada yang tertanggal daripada badanku macam putus jari, pasti akan tumbuh kembali jari itu. Mahu lihat?" kulihat langsung tiada reaksi yang terpancar pada wajah Iqmal. Mahu memutuskan jari? Ei, tak perlulah! Aku cepat-cepat menolak. Ini bukannya masa untuk melukakan diri sendiri!

    Aku teringat akan kata-katanya pada diriku sewaktu meninggalkan aku, dia kata dia takkan mempedulikan aku jika aku diapa-apakan si hampeh( Encik Zakaria). Aku mengulum senyuman, "Peliklah awak ini, kata tak mahu pedulikan saya.."

       " Saya tak faham,kenapa awak masih mampu bertenang?"

      "Maksud Iqmal?" aku tidak faham.

     "Tentang Encik Zakaria," nama 'Zakaria' sengaja Iqmal ditekankan.

     "Dia sekadar manusia yang tak berdaya," ucapku tenang.

     "Mengapa  begitu?" dia memandang aku dengan riak bagai tak percaya.

     "Entah, tetapi saya rasa memang keadaan Encik Zakaria seperti manusia tak berdaya. Tidak berdaya dengan marah yang dipikul, lama-kelamaan dia tenggelam dengan perasaan sendiri tanpa sedar ia menjadi dendam," itu saja yang mampu aku bayangkan tentang Encik Zakaria. Wajah redup kelihatan menyedihkan terbayang di tubir mata.

   "Awak tak tahukah bahawa Encik Zakaria itu telah membunuh puluhan nyawa. Sekadar mahu memadamkan dendamnya? Dan apa yang dia dapat setelah melakukan perkara terkutuk itu? Dia dibalas dengan kemewahan. Takkan hati awak boleh terpaut dengan hanya mendengar riwayat menyedihkan itu saja?" aku dapat merasakan getaran amarah yang cuba ditahannya.

     Adakah hatiku terpaut dengan Encik Zakaria? Aku menyoal diri sendiri, bagaimana aku mahu terpaut dengan lelaki yang tidak berdaya sebegitu? Lelaki yang tak mampu menahan nafsu dendam sendiri? Lelaki yang membiarkan seorang wanita mengetahui kelemahan diri sendiri? Aku tak tahu samada lucu atau tidak, tiba-tiba saja aku ingin ketawa.

    "Apa yang lucunya?" soal Iqmal apabila melihat aku ketawa secara tiba-tiba. Aku boleh nampak dahinya berkerut kehairanan. Pasti dia tengah bengang sebab aku ketawa secara tiba-tiba sedangkan dia pula tengah marah.

    "Untuk pengetahuan Iqmal, saya langsung tidak terpaut dengan lelaki seperti dia. Langsung tidak! Bagaimana saya nak terpaut padanya sedangkan dia telah menunjukkan kelemahan sendiri?Awak pun satu Iqmal, kenapa mahu menyibuk tentang diri saya? " kejam sangatkah aku? Ah,tak kisahlah! Bukan Encik Zakaria dengar apa yang aku katakan. Aku fikir macam dia ada menaruh minat pada aku saja.Menaruh minat pada wanita yang tak lama lagi akan pergi?Huh!

        " Lumrah manusiakah kalau dia suka pada seseorang, dia akan mengganggu seseorang itu?"

     "Apa yang awak cuba katakan ini?" dahiku berkerut, aku tak memahami apa yang dia persoalkan sekarang.

       " Boleh tak saya katakan, yang saya sedang jatuh cinta pada awak,Azalea ?"

       Pengakuan Iqmal membuatkan aku...

        "What!! Iqmal, adakah awak sedar apa yang sedang awak cakapkan tadi?" aku tiba-tiba dilanda perasaan cemas dan pipi merona merah. Aku pandang tepat pada wajahnya, dia berkata-kata tanpa wajahnya menunjukkan apa-apa mimik langsung!Dia mainkan akukah? Jantungku berdegup hebat.              

        "Saya sedar apa yang saya sedang katakan itu,sejak terpandangkan awak. Awak buat makhluk siluman macam saya ini rindukan manusia lemah macam awak. Tujuan saya ke situ hanya untuk memerhatikan Encik Zakaria, tetapi apabila pertama kali saya berjumpa dengan awak. Perkara ini memang jelas sukar buat saya. Lagi-lagi perasaan itu selalu terasa apabila berjumpa dengan awak."

      Iqmal mendekatiku, aku semakin cemas. Dia mahu buat apa? Tanpa segan-silu, dia mencapai tangan kananku. Dia perhatikan seketika tanganku, ada plaster masih berbalut. Aku pula kaku. Tak tahu nak buat apa, samada melawan atau merelakan saja.

        Dia menanggalkan plaster tersebut, aku mendesis kerana pedih."Iqmal, awak nak buat apa?" soalku padanya. Kelihatan darah daripada luka tidak kering lagi. Ini mungkin disebabkan faktor penyakitku yang menyebabkan luka susah nak sembuh.

       Tiba-tiba dia menjilat darah daripada luka, terbuntang mataku sambil mengeliat kerana geli."Iie, apa ni!" marahku pada dia. Tapi Iqmal langsung tak pedulikanku.

      "Perasaan itu semakin kuat apabila saya ganggu awak, walaupun saya tahu si Zakaria akan datang untuk menyelamatkan awak. Selama ini pun, saya dah tahu Zakaria menyukai awak."

      "Ah,Encik Zakaria menyukai saya?" aku terpinga-pinga. Tak menyangka dia boleh menyukaiku.

      "Ya," Iqmal mengangguk. Dia mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluarnya. Kelihatan pembalut luka yang baharu. Tanpa berlengah dia membalut tanganku.

       "Kalau awak jatuh cinta pada orang yang salah, dan tetap meneruskannya juga. Padahnya sama saja macam luka ditangan awak esok hari," aku keliru. Kini, dia berikan pesanan tak masuk akal pula!

     "Iqmal, aku tak katakan pun yang aku mencintai atau menyukai Encik Zakaria. Kenapa kau katakan sebegitu?" ujarku dengan kening hampir-hampir bertaut.

      Iqmal hanya tersenyum lalu membalas,"Azalea akan tahu juga. Kalau bukan dengan Encik Zakaria, mungkin saja orang lain?"

     Iqmal, aku langsung tak faham!Benar-benar tak faham! Sekejap dia kata yang dia cintakan aku, kemudian dia kata Zakaria menyukaiku. Sekarang nasihat pelik pula. Aku terdiam agak lama, kerana cuba menghadam kata-katanya.

        Tanpa aku sangka, dia merangkul tubuhku. Erat. Dadaku berdebar kencang. Aku cemas, "Iqmal, lepaskan aku.."pintaku perlahan.

      "Shh.."dia minta aku diam.

      "Saya nak cakap, yang saya betul-betul mencintai awak. Saya nak tanya bagaimana perasaan awak apabila dipeluk oleh saya?" sambung Iqmal lirih.

       Aku tak menjawab. Memanglah berdebar-debar dan darah hangat naik bersemu ke muka, tetapi aku rasakan sedikit damai apabila berada di pelukannya kerana terasa dilindungi. Dan ada perasaan lain pula hadir dalam hati aku. Aku keliru lagi, apa yang sedang aku alami ini?

      Aku menutupkan mata, entah kenapa terasa mengantuk dan terbuai. Aku dapat rasakan yang Iqmal cuba leraikan  pelukannya. Tetapi, aku tak mahu melepaskan diri daripada rangkulannya. Aku terasa aku seperti takut kalau kehilangannya. Hatiku terasa sedih. Kemudian aku mula tidak ingat apa-apa.

   

    

Comments

Post a Comment

Popular Posts