Cerpen: Hati Dan Luka Bhgn 4

     6.00 pagi. Aku terpisat-pisat selepas bangun daripada tidur. Udara masih dingin, aku memeluk tubuh kerana kesejukan. Suasana masih gelap, aku mengeluh tak pasti aku di mana. Sambil menggosok mata, aku cuba bangun daripada berbaring di katilku. 

   Angin sejuk menyapa perlahan tubuhku. Tak dapat menahan kedinginan angin. Kutoleh ke kanan dimana pintu beranda berada, pintu beranda terkuak luas,langsir warna ungu kelihatan melambai-lambai di tiup angin. Aku menepuk dahi, menyesal kerana terlupa menutup pintu beranda.

   Segera aku meninggalkan katil beraduku untuk menutup pintu beranda. Sebelumku tutup daun pintu, aku pintasan memori semalam mengisi mindaku. Wajah Iqmal dengan matanya yang malap tidak bercahaya seperti yang sebelumku lihat. Kata-katanya yang mengatakan Encik Zakaria menyukaiku. Perlakuannya menjilat lukaku. Pengakuannya yang menyatakan dia mencintaiku. Pesanannya bahawa jikaku mencintai orang yang salah dan mahu meneruskan juga, hatiku hanya akan terluka macam luka di tanganku pada esok hari.

    Luka? Aku mengangkat tangan kananku, kelihatan lukaku tak bertampal dengan plaster. Mataku terbuntang.  

    A..apa yang terjadi pada luka aku? Luka aku makin teruk! Hampir-hampir saja aku duduk melutut di situ. Melihat luka  yang menghiris berdekatan jari kelingking terbuka lebih sedikit daripada semalam, hampir-hampir menampakkan isi tangan dan darah yang mengalir!


.........................................

DENGAN keadaan lukaku yang semakin teruk, aku hanya membersihkannnya dengan iodin dan membalut saja dengan pembalut luka. Untuk tak merisaukan nenek jika dia  melihatku nanti, aku memakai pakaian yang panjang lengannya lebih daripada panjang lenganku bagi menutupi lukaku.

    Fikiranku tatkala ini semakin berserabut, selepas sarapan dan membantu nenek sekejap di dapur aku terus meminta izin nenek untuk keluar. Perlahan-lahan aku keluar daripada rumah, melihat kanan dan kiriku mahupun sekeliling. Aku takut dia akan datang mengganggu aku. Siapa dia? Siapa lagi kalau bukan si Iris Merah nan bercahaya itu!

   Tiada sesiapa memerhatikanku, aku menarik nafas lega. Dengan perlahan-lahan aku melangkah, berjalan-jalan sambil menikmati pemandangan yang indah. Langit biru, mentari, udara bersih, ladang dan rumput yang kehijauan, kita nikmati tanpa membayar pada Tuhan kita pun. Percuma! Sesuatu yang patut kita bersyukur.

   Tapi fikiranku masih dihantui dengan kata-katanya, dia mencintaiku. Dia mencintaiku. Dia mencintaiku. Dia mencintaiku. Dia mencintaiku. Dia mencintaiku? Adakah benar dia mencintaiku?

  Sesuatu yang menghairankan kerana dia mencintaiku! Pertama kali aku lihatnya di kafe Encik Zakaria. Itupun selama dua minggu tak pernah bertegur sapa. Kemudian dia menakutkan aku pada kejadian dia 'mati'. Aku hanya mengenalinya baru sehari pada petang kelmarin dan malam semalam dia boleh kata dia mencintaiku?

   Mungkin saja cinta pandang pertama? Dia terpandang diriku sewaktu pertama kali dia melihatku. Agak lama memerhatikanku dan ada perasaan lain yang hadir dalam benaknya. Perasaan yang indah. Sehingga kita dapat merasakan sendiri debaran jantung kita. Perasaan yang sama pernah hadir dalam diriku sewaktu melihatnya pertama kali. Eh, Aku pernah alaminya?

   "Cik Azalea!" aku tersentak daripada lamunan. Suara Encik Zakaria menyapaku, pantas kutoleh ke kiri di mana suaraku dengar itu berada.

      "Cik Azalea singgah ke sini lagi? Kafe saya belum buka lagi," ucapnya selajur menerpa padaku. Aku memandang di belakangnya, kafe Villa's Cake masih belum dibuka.

      "Entahlah.. "Sengaja menjadi dingin. Aku pun tak tahu mengapa dengan aku, mungkin saja aku tiada mood untuk melayan dia. Aku memandang sekeliling suasana kafe Encik Zakaria sambil tangan menyeluk kocek jaket, tak ramai juga yang lalu-lalang di sini. Mungkin saja awal pagi.

    "Saya boleh agak pasti pagi ini akan ramai pelanggan nanti," ucap Encik Zakaria meramalkan sesuatu yang bagus untuk kafenya. Aku memandang Encik Zakaria, seulas senyuman tipis cuba dia hadiahkan untukku.

   "Maksud Encik Zakaria?"

   "Sejak ada awak di kafe saya, sudah banyak pelanggan datang. Awak tak rasa begitu?" aku mengerutkan dahiku sikit. Hairan.

   Cara dia berbual-bual denganku seolah-olah dia sudah lama mengenali diriku. Pada pandanganku selama bertemu dengan Encik Zakaria, jarang aku nampak dia bermesra dengan seseorang. Malahan, menceritakan rahsia gelap sendiri.

    Aku teringat balik kata-kata Iqmal padaku," Selama ini pun, saya dah tahu Zakaria menyukai awak."
Aku dapat rasakan darah hangat mengalir dia wajahku.

   "Cik Azalea? Awak termenung apa?" Encik Zakaria sedar bahawa aku sedang termenung.

   Aku tersedar. "Er..tiada apa-apa."

   "Cik Azalea dengar tak, yang saya nak jadikan Cik Azalea sebagai pekerja saya?" dia mengulang kembali soalan yang tadi tidak menyinggah di gegendang telinga.

   Aku lagi sekali terpinga-pinga, aku mengeluarkan tanganku sambil jari telunjuk menunjukkan kearahku. "Encik Zakaria nak jadikan saya sebagai pekerja Encik Zakaria?"

    Dia menggangguk kemudian matanya tertangkap pada balutan yang ada di tangan kanan aku. "Luka tangan awak, makin terukkah?" soal Encik Zakaria. Dia kelihatan risau. Tanpa segan silu dia memegang tanganku. Aku terkejut dengan tindakan dia.

    "A'ah. Jangan risau tak lama lagi eloklah," ucapku cuba menenangkan Encik Zakaria dan juga diriku.



KERJA sebagai pelayan taklah membosankan. Disamping menambah wang yang semakin berkurangan dalam simpanan boleh saja aku mengisi masa bosanku. Pelbagai karenah menusia aku boleh lihat sepanjang menjadi pelayan kafe Encik Zakaria. Tak sangka juga sejak aku bekerja, ramai pula yang datang.

   Selain itu, aku cuba mencari Iqmal. Aneh ya? Sejak dia menyatakan pengakuannya, dia bagai sudah lenyap di muka bumi. Tidak kelihatan pun dia. Semakin lama rindu aku pada dia bertambah, baru aku faham apa yang aku sedang alami sekarang. Aku mula jatuh sayang pada Iqmal. Hakikatnya, sejak pertama kali bertentang mata dengannya perasaan itu sudah bercambah.

   Encik Zakaria hanya memerhatikan aku saja dari jauh. Dia seolah-olah tahu aku sudah terpaut pada Iqmal. Hubungan antaraku dengan dia adalah hubungan antara majikan dan pekerja. Langsung tiada perkembangan. Jika berbual, sekadar berbasa-basi dan tak lama kemudian mula kekok apabila langsung tiada apa mahu untuk dibicarakan.

    Namun Encik Zakaria dia kelihatan berusaha. Tapi biarkan saja kerana mengharapkan Iqmal.

   Aku akan duduk di tepi tingkap memerhatikan keadaan luar jikalau pelanggan sudah kurang atau kedai akan tutup. Aku sedang menantikan kehadiran lelaki itu. Si misteri yang mencuri hatiku.
..........

"CIK AZALEA sepatutnya buat rawatan lebih awal! Kenapa biarkan penyakit Cik melarat begini saja? Sekarang sudah menyusahkan orang untuk bawa awak pitam ke hospital!" aku hanya memandang kosong saja walaupun dimarahi oleh doktor.

   "Tak lama lagi saya akan mati juga," ucapku. Setelah sedar daripada pitam di hospital. Pagi tadi aku pitam tanpa disangka-sangka. Memang sejak bangun pagi badan memang terasa tidak sihat dan nenek pun menegurku bahawa aku kelihatan pucat. Tetapi aku tak endahkan nasihat nenek yang aku perlu berehat.

   Doktor dihadapanku hanya mampu mengeluh apabila mendengar kata-kataku. Sambil tertunduk mencatit sesuatu dalam kad laporan, dia berkata "Awak tak patut berputus asa. Cik Azalea masih hidup, bukan?"

   "Saya masih hidup jika diri saya sendiri boleh hidup."

   "Tuhan ada. Awak boleh hidup," kata-kata doktor dihadapanku tepat mengenaku. Pendek tetapi terlalu bermakna. Serta-merta membuatku terkedu dan mata pula memandang ke tempat lain selain doktor dihadapanku.

AKU menapak keluar daripada hospital dengan langkah longlai. Kata doktor orang yang membawaku akan datang mengambilku. Aku boleh agak pasti Encik Zakaria. Sebab dia sajalah orang terdekat yang menjadi saksi aku pitam.

    Tak lama kemudian ada sebuah Hyundai Veloster merah berhenti dihadapanku. Aku terpinga-pinga, bukankah Encik Zakaria menggunakan jip?

   Pintu belah penumpang terkuak luas. Aku menundukkan tubuh melihat siapa pemandu Hyundai Veloster.

   "I..Iqmal?"

   "Cepat masuk. Kita kena berbincang," pemandu itu mengarahkank supaya masuk. Tanpa berfikir panjang aku terus masuk.

   Iqmal yang membawaku ke hospital? Kenapa bukan Zakaria? Kenapa Iqmal ada di sini? Di sisiku? Soalan demi soalan timbul di benakku.

   "Kemana selama ni Iqmal menghilang?" soalku apabila kenderaannya berhenti di bahu jalan. Kelihatan tiada sesiapa di luar, kedai pun tiada. Sekadar hutan.
  
    "Kenapa awak tak pandai jaga diri?"

    "Awak perhatikan saya selama ni?"

    "Jika ya. Mengapa? Awak patut jaga diri lagi-lagi dengan penyakit tu," ujarnya marah.

    "Saya dah tak kisah!"

     "Awak putus asa sajakah? Mahu mati lagi cepat? Mahu merana macam ibubapa awak?"

     "Saya tak merana,"ucapku tertunduk.

     "Habis itu? Apa yang sedang awak hadapi sekarang? Awak hidup macam tiada tujuan!"

     "Saya cintakan awak, Iqmal!" tanpa rasa gentar aku mengatakan perasaanku padanya.

      Dia terkedu apabila mendengar pengakuanku. Tampak jelas riaknya terpempan.

      "Saya memang tak kisah apa yang akan jadi dalam hidup saya, Iqmal. Sejak saya tahu yang tak lama lagi saya akan mati macam ayah saya. Saya dah tak kisah kalau saya merana..." aku berhenti sekejap kemudian menarik nafas dan menyambung semula.

   "Walaupun pertemuan kita singkat, suara awak, iris mata merah awak, sikap awak dan diri awak. Saya tak merana. Awak hilang, hati saya rindu. Awak datang, hati saya kusut. Hari tu awak peluk saya, saya bahagia. Awak kata awak cintakan saya..."

    "Saya dah kata, kalau awak mencintai orang yang salah, hanya bertambah parah luka awak,"tiba-tiba dia memintas. Wajahnya tegang bertukar keruh.

    "Tapi awak cintakan saya, bukan?" soalku padanya untuk mendapatkan kepastian.

    "Ya, tapi saya orang yang salah."

     Dahiku berkerut, tak mengerti."Apa maksud Iqmal?"

    "Awak terlupakah saya bukan sebangsa dengan awak?"

    "Saya tahu dan saya tak kisah," ucapku nekad.

     Tiba-tiba dia merangkul tubuhku. Aku tersentak. Wajahnya dilekap ke leherku Aku dapat merasakan nafas hangat Iqmal di leherku. Tangannya mula merangkulku lebih erat.

    "Iqmal," tegurku kemudian aku dapat merasakan kesakitan di leherku seperti ada dua bilah pisau menyucuk kulit leherku.  Aku mengerang kesakitan. Aku mula gelisah apabila darahku disedut dengan ganas. Aku mahu menjerit tetapi jeritan seolah-olah tersekat.

      Aku cuba meronta-ronta sekuat hati untuk melepaskan diri. "Iqmal, hentikan!"

      Aku ketakutan dan sakit, dia langsung tak mengendahkan kata-kataku. Kenapa hal ini pula yang terjadi? Siapa sekarang mahu membantuku? Encik Zakaria?  Air mataku mengalir deras. Pandangan pula makin kelam.

    "Iqmal, lepaskan Azalea!" jeritan lantang disusuli dengan bunyi kaca pecah berderai mengejutkan aku. Serta-merta mataku terbuntang, cermin hadapan Hyundai Veloster pecah. Aku menoleh di hadapan, seorang lelaki berambut ponytail berada sepuluh kaki jauh daripada Hyundai Iqmal.

     Wajah Iqmal yang tersembam di leher menole ke arah Encik Zakaria. Aku dapat lihat mulut Iqmal dikotori dengan darah. Dua batang gigi taringnya jelas kelihatan dan iris matannya merah dan bercahaya.Baru aku sedar, itulah wajahnya yang sebenar.

    "Encik Zakaria, awal datang?" soal Iqmal dalam sinis.

    "Lebih baik kau jauhkan Azalea daripada dirikau. Kalau tak bila-bila masa aku boleh bunuh kau." tegas suara Encik Zakaria. Wajahnya tegang.

   Dengan peluang yang ada, aku keluar daripada kereta Hyundai Iqmal dan pergi mendekati Encik Zakaria. Tangan kananku menekup luka di pangkal leher. Darahnya masih tak henti mengalir.

    "Kau tak boleh bunuh aku dengan sebutir peluru. Bukankah aku dah kata, aku bukan manusia?" mata Iqmal mengerlingku. Sisa darah di bibirnya dikesat dengan lengan bajunya.

    "Kalau awak cintakan saya, Iqmal. Kenapa sanggup buat saya begini?"

    "Kita tak sama, Azalea. Begitu juga perasaan saya. Mungkin cinta awak sesuatu yang indah tapi cinta saya cinta yang berbeza. Saya cintakan awak kerana darah awak. Darah enak memang berbaloi untuk diburu. Manusia bodoh seperti awak memang mudah untuk dipermainkan. Itu cinta saya. Awak faham? Itulah saya kata, kalau awak tersalah mencintai orang. Luka awak akan lagi parah. Dan saya orang yang salah."

    Wajahku berubah riak, benarkah apa yang aku dengar itu? Hatiku terasa dicincang lumat. Kata-katanya menghiris jiwa. Aku tak salah mencintai dia. Iqmal bukan orang yang salah!

     "Habis, apa maksud awak mengambil berat terhadap saya? Awak memeluk saya? Pandangan hampa bila saya mengenepikan awak? Kemarahan awak? Iris merah yang malap?"

    Aku dapat melihat matanya menoleh ketempat lain. Dia terdiam.

    "Cik Azalea kita patut pergi sekarang. Biarkan dia," ucap Encik Zakaria. Muncung pistol masih tepat menghalakan kearah Iqmal.

   "Betul kata dia, awak patut pergi dari sini."

   "Awak tak jawab soalan saya lagi, Iqmal."

    Iqmal langsung tak mengendahkannya. Hyundai Veloster dihidupkan, dengan pandangan dingin dan iris matanya bertukar malap dia meninggalkan aku dan Encik Zakaria di bahu jalan. Tanpa jawapan. Itulah kali terakhir aku berjumpa dengan dia.

   Selama ini aku cuba berdiri tegak atas kaki sendiri. Menyembunyikan perasaan aku sendiri daripada diketahui nenek atau orang lain. Aku tabah. Namun, kenapa sekarang apabila seorang lelaki datang dalam hidupku, menzahirkan perasaannya, kemudian meninggalkan aku membuatkan aku hancur?

.............

MELALUI reflek cermin yang kutatap, pintu bilik dibuka oleh seseorang. Pantas ketoleh belakang melihat siapa yang datang pada hari bemakna buat aku. Tatkala aku menatap susuk tersebut, nafasku seolah-olah terhenti. "Iqmal!"

  Lelaki dihadapanku banyak berubah. Gaya rambutnya sekarang kerinting dan Iqmal kelihatan sedikit kurus. Dia kelihatan segak dalam kemeja putih dan berseluar hitam dan ditangannya ada kotak merah bereben biru sebesar kotak kasut.

  "Maaf, saya saudara kembar Iqmal,"ucap lelaki itu dengan sopan.

   "Oh.." itu yang terkeluar daripada mulutku.  Sedikit hampa. namun cukup bagus untuk tidak berjumpa dengan Iqmal sekarang. Tidak kusangka rupa-rupanya dia ada sudara kembar. Dari cara dia berkata, aku boleh agak pasti mereka mempunyai perwatakan yang berbeza.

   "Cantik baju perkahwinan Cik Azalea," pujinya melihat busana yang tersarung di badanku. Aku melihat dia meletakkan kotak hadiah itu ke tilam yang sudah dihias untuk pengantin baru.

   "Saya tak rasa Iqmal menghantar awak untuk mengucapkan pujian itu," balasku. Aku dapat merasakan yang dia dihantar oleh Iqmal sendiri untuk menghalang pernikahanku.

   "Bukan dia yang hantar saya. Saya sendiri mahu datang."

   "Untuk apa?"

   "Awak mungkin menyesal jika awak menih dengan si pembunuh itu," ucapnya tanpa menyebut nama Zakaria.

  "Ini kehidupan saya dan hidup saya tak lama lagi akan berakhir. Biar saja saya tentukan."

   "Bagaimana awak mampu memilih dia?" soal saudara Iqmal. Getar suaranya mirip suara Iqmal. Tuhan, buangkanlah perasaan ini jauh-jauh! Wajahku tertunduk.

   "Selepas saudara awak buang saya, saya merasakan saya tak mampu hidup lagi. Saya tak boleh nak lupakan semua itu. Tapi Zakaria bin Abdullah datang selamatkan saya. Dia meluahkan perasaanya pada saya. Awak tahu apa dia kata? 'Ingat lagi pada hari saya selamatkan awak? Yang saya katakan saya takkan lepaskan awak sampai bila-bila?' "

   "Saya minta maaf atas kebiadapan abang saya terhadap awak. Jika awak sudah nekad, adakah awak mampu mengubah Encik Zakaria? Awak pun tahu, kehidupannya hanya satu matlamatnya iaitu dendam."

   "Dan tujuan saya sekarang juga dendam pada Iqmal."

    "Wah, awak memperalatkan Encik Zakaria?"

   "Saya mahu tunjukkan yang saya lebih bahagia sekarang. Saya akan buat dia menyesal sebab membuang saya. Saya akan hidup dengan cara ini sehingga saya mati."

    Aku mengangkat wajahku, menatap saudara Iqmal dengan wajah serius. Dia terdiam mendengar jawapanku tadi. Aku sudah kata, yang aku tak kisah dengan hidupku kini. Biarlah aku lakuakan kehidupanku dengan sesuaka hatiku. Walaupun risikonya hebat untuk ditanggung.

   Tak lama kemudian dia tersenyum tipis, seolah-olah faham apa yang aku cuba katakan sekarang. "Baiklah, saya faham. Semoga awak bahagia dengan perkahwinan awak Cik Azalea. Tapi ingat, Tuhan ada, bila-bila masa saja perasaan itu akan berubah."

    Kemudian dia melangkah pergi meninggalkan bilik. Entah kenapa kata-katanya membuatkan aku teringatkan akan pesanan doktor sewaktu kali terakhir aku berjumpa Iqmal. Tuhan ada,awak boleh hidup.


-Tamat setakat sini sahaja. Untuk seketika. Walau ada perancangan untuk menyambungnya.-

Comments

  1. Salam. Sorry.. Ini sbnrnya ending dia..
    Lupa nak tulis TAMAT kat situ
    Insya Allah..
    tgh nak sambung jugak ni. :)
    Tp tgh busy.

    ReplyDelete
  2. Nak tny ni ade sambungan dia ke atau dh tamat.. btw cerpen hati dan rahsia tu sambungan dia atau cerpen lain? Mmg best membaca seronok.. teruskan usaha anda dlm berkarya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts