Hati dan Rahsia 2



Jeti Tepian, Pulau Dahan.

HAMPIR dua jam mereka berada di Jeti Tepian. Kapal ekpres yang membawa tetamu Tuan Jamal masih belum sampai. Matahari di langit memancarkan sinaran yang terik. Kepanasan yang di bawa oleh mentari menyebabkan, Hanani dan Irfan berpeluh walaupun berlindung di tempat teduhan. Kenderaan SUV yang membawa mereka diparkir di tepi bahu jalan. Sementara menunggu, Irfan membiarkan pemandu mereka berehat di dalam kereta.

 "Lama lagi ke?"Soal Hanani mengipas-ngipaskan tangan ke muka. Mereka berdua duduk di kerusi yang terdapat di kawasan jeti tersebut. Mata masing-masing liar melihat persekitaran jeti tersebut. Ada dua tiga kapal ekpres membawa ramai pengunjung ke Pulau Dahan. Namun, orang yang dicari tidak jumpa.  " Tak tahulah, Hanani." Balas Irfan, pendek.

  Hanani memandang Irfan dengan pandangan agak kecewa. Mereka dari tadi senyap sahaja. Selalunya banyak cerita mereka berbual.

   "Irfan, kau dari tadi macam ni. Apa yang Tuan Jamal cakap kat kau?"
   "Hmm? Apa dia?" Irfan seperti tersedar daripada lamunan.
   "Apa yang Tuan Jamal cakap tadi? Sampai kau senyap macam ni. Tadi muka masam, sekarang blurr pulak." Balas Hanani dalam tidak puas hati.

  "Mana ada apa-apalah."

  "Tipu!" Hanani geram.

  Tandan dahi Irfan berkerut. Pemuda itu melepaskan keluhan. Kalau dia dengan Hanani, banyak masalah diceritakan. Payah untuk merahsiakan daripada gadis itu. Dalam hidupnya, gadis itu adalah satu-satunya tempat dia meluahkan masalah. Kalau tiada Hanani, boleh gila agaknya dia. Akhirnya dia mengalah. "Ada, tapi tak tahu macam mana nak terangkan."

  "Tak tahu? Ini mesti gerak hati Irfan lagi, kan?" Hanani bermain jerangkap samar. Gerak hati yang dikatakan Hanani itu adalah kebolehan yang ada pada Irfan. Pemuda itu boleh mengesan bahaya melalui gerak hatinya. Tidak semua percaya akan hal itu, tetapi Hanani dan keluarganya saja percaya. Irfan pernah menyelamatkan keluarganya daripada mengalami letupan gas dapur. Mujur rumah tidak hangus terbakar, Irfan terlebih dahulu memeriksa dapur mereka.

  "Gerak hati?" Lelaki itu terdiam kemudian menggaru-garu kepala yang tidak gatal. "Lebih kurang, agaknya. Lagipun ini pasal Tuan Jamal."

   "Pasal skandal Puan Huda, kan?"
   "Pasal skandal tu? Tuan Jamal sebenarnya dah lama tahu pasal hal tu. Dan hal tu dah lama berlaku."
   Mata Hanani terbuntang. Tidak menyangka akan hal yang dikatakan Irfan.
  
 "Mula-mula, Tuan Jamal kecewa jugak sampai tidak dimaafkan Puan Huda. Puan Huda merayu, dia terima. Lelaki itu pun dia tinggalkan. Tapi lepas beberapa tahun, lelaki tu datang balik. Dia bawa harapan besar untuk Puan Huda. Lelaki tu tahu, Tuan Jamal tak boleh bagi apa yang Puan Huda mahu." Irfan menceritakan serba-sedikit.

   "Takkan Tuan Jamal biarkan aje isteri dia curang depan mata sendiri?"
   Irfan menggeleng, "Dia siasat siapa lelaki tu. Rupa-rupanya niat lelaki tu ada udang di sebalik batu."

  "Mestilah nak harta Tuan Jamal!"
   "Aku tak pasti, tapi mungkin ya."
   "Kenapa pulak?"

   "Entah.." Balas Irfan ragu-ragu dengan apa yang dikatakan. Wajah Hanani kelihatan keliru.

   Kedengaran bunyi enjin sebuah kapal ekspres tiba di jeti. Perbualan mereka terhenti. Serentak mereka berdua berdiri, mendekati kapal ekspress tersebut. Kelihatan pintu kapal tersebut terbuka. Lalu berpusu-pusu pengunjung keluar daripada kapal tersebut. Mereka berdua, cuba mencari tetamu mereka.

   "Tuan ada cakap dia pakai apa tadi? Lagipun kita tak kenal dia."    

  "Kata Tuan Jamal, nanti lelaki tu pakai baju kemeja kuning cair dengan seluar tiga suku coklat." Balas Irfan.

   "Aku rasa aku dah jumpa dah. Wah, handsome nya dia!"

  Irfan memandang Hanani dengan seraut wajah hairan. Cepatnya, Hanani jumpa! Getus hati Irfan. "Mana?"

   "Depan sana." Kelihatan gadis mungil itu teruja sambil menunjukkan lelaki tersebut . 

  Irfan memandang arah yang ditunjukkan Hanani. Kelihatan lelaki tersebut memakai pakaian seperti yang dikatakan. Dia juga agak setuju dengan apa yang dikatakan Hanani tadi. Tampan. Dalam linkungan dua puluhan. Berkulit cerah, rambutnya pula kemas rapi.  Mempunyai seraut wajah yang mampu menambat hati wanita. Lagi-lagi sepasang mata lelaki itu. Tenungan mata lelaki itu menggodakan. Dari pandangan matanya saja, pasti lelaki itu mempunyai persona yang hebat. Hakim kalau nampak, boleh cair agaknya.

  Mula-mula, lelaki tersebut berhenti melangkah sambil matanya meliar melihat kawasan jeti tersebut. Ada senyuman terbit di bibir pemuda itu, seperti berpuas hati dengan sesuatu. Pasti gembira melihat keadaan pulau ini.

  Sedang lelaki itu menikmati pemandangan di jeti tiba-tiba pandangannya tertancap pada mereka berdua. Tenungan mata lelaki itu terarah pada Irfan. Irfan tersentak. Tenungan lelaki itu mungkin menggodakan buat para wanita, namun bagi Irfan dia dapat merasakan sesuatu di balik tenungan lelaki itu. Bahaya mungkin.  

  "Dia pandang kitalah!" Hanani tanpa segan silu mengangkat tangan dan melambai-lambai ke arah lelaki itu. Lelaki itu turut melambai-lambai pada Hanani. Senyuman lebar terbit pada bibir gadis manis itu. Begitu dia sudah jatuh hati pada lelaki yang melambai kearahnya.

   Irfan yang menyedari tindakan Hanani segera meminta gadis itu menghentikannya. Lelaki yang menjadi tetamu Tuan Jamal segera melangkah perlahan untuk mendekati mereka bersama beg bagasi.

   "Kenapa pula? Itu memang tetamu kita,kan?" Soal Hanani tidak puas hati.

   "Itu kan tetamu kehormat Tuan Jamal. Mana sopan."

   "Dia okay aje. Lagipun lelaki tu muda, aku pun muda. Boleh jadi kawan. Tak pun jodoh." Balas Hanani kemudian tersengih.

   Irfan memandang gadis itu dengan tandan berkerut. Sejak bila kawan aku yang seorang ini boleh datang penyakit miang? Itu bukan penyakit lelaki?

    "Jadi, inilah penyambut tetamu saya?" Tegur lelaki itu, senyuman di bibir tipis lelaki itu umpama tidak luntur.

  "Jadi awaklah.."

   "Roman." Belum sempat Hanani menyoal lelaki itu, lelaki bernama Roman itu sudah memintas.

   Irfan ketawa kecil secara spontan. Kendati dia sudah tahu siapa nama tetamu Tuan Jamal, lucu masih tidak meninggalkannya. Mana ada orang guna nama Roman.

  Tiba-tiba Hanani menyiku badan Irfan. "Irfan, ini tetamu kehormat kita. Mana sopan. Maafkan kawan saya ya Encik Roman. Selalunya tak pernah macam ini." Tegur Hanani kemudian gadis itu memaniskan muka pada lelaki dihadapan mereka.

    Irfan menarik muka masam. Itu bukan ayat aku tadi? Gumamnya dalam hati.

   "Lah, Kamu berdua bukan adik beradik? Saya fikir yang manis ini kakaknya. Saya ingat kamu adik-beradik anak Tuan Jamal. Siapa antara kamu berdua anak Tuan Jamal?"
   Wajah Hanani tampak kemerahan. Malu dipuji sebegitu.
   "Atau yang pendek ini?" Tangan lelaki itu cuba mengukur ketinggian antara dia dan Irfan.  Irfan mendengus. Bengang dikatakan lebih rendah daripada Roman.

  "Encik Roman, si manis ni namanya Hanani. Dan saya Irfan. Kami berdua ni housekeeper resort milik Tuan Jamal aje. Dia minta kami ambil Encik Roman dan untuk pengetahuan Encik Roman, Tuan Jamal tak pernah ada anak." Irfan memperkenalkan Hanani dan dirinya sendiri dengan nada agak dingin. Hanani yang memerhatikan tingkah laku Irfan terhadap Roman dengan tidak puas hati.

   " Please, just call me Roman or Rom. Kenapa Tuan Jamal suruh kamu berdua ambil saya?"

    Sebelum Irfan membalas, Hanani segera menjawab soalan Roman. Takut rakannya itu menjawab dengan sikap dingin. "Er.. Roman, sebenarnya kami pun tak pasti. Tapi kenderaan untuk pergi ke Suria Beach Resort disediakan dan kami akan cuba layan Roman sebaik mungkin demi keselesaan Roman di pulau ni."

  "Kami?" Soal Roman pelik.

  "Kenapa ada salah apa-apake Roman?" Hanani mula gelisah.

  "Awak sajalah yang layan saya, tak boleh ke?" Usik Roman. Irfan yang mendengar kata-kata tetamu Tuan Jamal tersedak. Tercekik dengan air liur sendiri. 

  "Er.. Yang itu kena tanya Tuan Jamal. Lagipun saya tolong Ifan temankan Roman saja."

  "Ya betul tu! Kalau Hanani kena pecat bagaimana? Encik Roman mahu tanggung keluarga dia?" Tokok Irfan. Hanani agak terkejut dengan kata-kata Irfan yang tidak disangka-sangka.

  "Pecat? Aku ada buat salah dengan Roman ke?"

   Roman memerhatikan gelagat Hanani dan Irfan. Terdiam namun bibir tetap tersenyum.

   "Kenapa Roman diam?" Hanani menyedari keadaan tersebut.

   "Em.. tak ada apa-apa. Saya ke sini ada urusan dengan majikan kamu tu. Lebih baik kamu hantar saya ke dia secepat mungkin." Pinta Roman menyembunyikan sesuatu.

   "Baik. Silakan Roman, saya tunjuk di mana kereta." Dengan hati yang terbuka Hanani menunjukkan jalan. Gadis itu sudah mengangkat tangan umpama pelayan tetamu menunjukkan arah. Irfan mengerling dengan muka menyampah.
  
 "Comel betul Cik Hanani ni, tapi saya nak jalan sama-sama dengan Cik. Tak salah kan Cik Hanani? Mahu juga kenal lebih dalam dengan Cik Hanani." Ayat manis lelaki itu yang memuji dia lagi sekali membuatkan Hanani tersipu-sipu malu. Sempat pula lelaki itu mengenyit mata pada Hanani.

  Perlakuan Roman mengusik rasa cemburu pada tangkai hati Irfan. Buaya darat! Nama sudahlah Rom. Dah nak dekat pula dengan Romeo..Romeo betul! Gerutu Irfan dalam hatinya.

   "Dah lama jadi housekeeper Cik Hanani?" Soal lelaki itu memulakan perbualan.

   "Lepas ambil SPM, Hanani kerja di resort tu. Roman boleh panggil saya Hanani." Hanani masih tersipu-sipu tapi mampu juga melayan soalan lelaki tampan itu. Sambil menjawab soalan Roman, dia berjalan beriringan dengan Roman. Sementara itu Irfan membawa bagasi milik Roman dan hanya mampu memendam rasa. Bila Hanani gembira dengan lelaki lain, dia pula merana.

  "Rasanya keputusan dah lepas. Kenapa ada di sini lagi?"

   "Tunggu tawaran. Lagipun kami orang susah, mahu kumpul duit."

  Telinga Irfan sayup saja dengar perbualan rancak tersebut. Mukanya jelas mencuka cemburu dengan setiap lagak dan tingkah mereka berdua.

Comments

Popular Posts