4 Cups of Coffee. 2
Sebuah kenderaan
Mini Cooper klasik bewarna kuning telah memasuki kawasan parkir luar bangunan
IKEA Damansara. Di dalam perut kereta
tersebut seorang pemuda sedang berbual di telefon. Kedengaran si pemandu
mengiyakan saja apa yang dikatakan orang yang beradadi hujung sana.
“Ya Tok, satni Meor buat. Meor baru sampai ni
Tok, tak nak buat sekarang?” Pemuda berambut ekor kuda terangguk-angguk
solah-olah wanita yang dia bercakap ada di tempat penumpang. Masih memakai kaca
mata hitam bundarnya sebagai penapis silauan matahari, saat tangannya mula
menanggalkan tali pinggang keledar.
“Hang jangan megheka (bergaduh) dengan bos
hang tu Meor. Susah nanti hang jugak yang kena.”
“Ya Tok.. ya Tok.. “
“Hang dengar ke dok
apa Tok cakap ni?”
“Ya Tok! Nanti
haktu yang Tok cakap tu, sat ni Meor buat.”
“Apa yang Tok nak, Meor Salih?”
Tertelan airliur
sendiri, dia sendiri pun tidak dengar apa yang dibebelkan Tok tadi. Makin
panjanglah bebelan Tok nya nanti. Tangannya mengetuk cermin pintu berulang kali.
“Eh.. Tok! Aunty Jua dah mai dah ni!” Meor
Salih berdusta. Tapi itu saja cara nak melepaskan diri daripada bebelan panjang
Tok. Belum Tok yang dihujung talian habis bercakap dia tergesa-gesa memberi
salam dan memutuskan talian. Dan akhirnya dia mampu bersandar melepaskan nafas
lega.
Namun dalam rasa leganya, dia tetap rasa
bersalah selepas bertindak begitu. Mematikan perhubungan macam tadi dengan orang
lebih tua memang tindakan yang tidak hormat. Tapi lagi lama dilayan wanita tua
itu lagi panjang perbualannya. Walau berjela-jela bebelan Tok tu, dia tetap
nenek terbaik yang Meor Salih ada.
Sambil menunggu si tuan rumah, dia bersandar
di bahagian pemandu. Bibir tipisnya menyanyi kecil mengikut lagu rancak yang
berputar di radio sambil
memerhatikan pengunjung yang
keluar masuk ke bangunanan IKEA. Matanya tertarik pada sebuah keluarga yang
baru keluar dari bangunan IKEA.
Si suami menolak troli berisi barangan
perabot jenama buatan Sweden sambil berbual mesra dengan isteri yang berjalan
seiring dengannya. Manakala anak lelakinya menarik troli yang di tolak si
suami. Mendesak ibu bapanya pantas bergerak. Si suami tergelak tengok tingkah
si anak. Tingkah laku mereka membuatkan dirinya tercampak dalam kenangan lama.
Dia tersenyum tipis.
Namun perkara itu hanya untuk seketika, perhatian
Meor Salih tiba-tiba teralih pada seorang lelaki berbaju t hitam. Di bahagian
hadapan baju T tersebut tertulis - My Name Is Oliver.
Mata Meor Salih memicing kecil. Dia sangat
hairan, kehairanan dengan masyarakat kini. Sewaktu kecil bukan main liat tak
mahu pakai name-tag di sekolah ini bila besar, datang trend t-shirt macam itu
terhegeh-hegeh nak pakai. Sungguh dia tidak faham.
Telefon di tangannya tiba-tiba berbunyi
menandakan ada panggilan lain sedang masuk. Bila ditatap skrin telefon. Nama Aunty
Jua terpapar. Pantas dia menjawab.
“Hello Aunty Jua?”
“Meor, awak kat mana?”
“Dah ada depan parking IKEA ni. Tempat yang
Aunty Jua minta tunggu.”
“Okay.. you stay there.”
“Okay..okay..” Meor mengangguk-angguk.
“Tapi kan Meor.. Boleh tak kalau ada orang
nak tumpang kamu pergi sana jugak?” Tiba-tiba si tuan rumah di sebelah sana
mengutarakan permintaan.
“Er.. Aunty ke nak tumpang?”
“Tak… dia ni salah seorang penyewa jugak.
Nama dia Oliver. Aunty minta dia tunggu kat situ jugak.”
Meor Salih teringatkan akan jejaka berbaju T
hitam yang dia perhatikan tadi. Dia merasakan itulah lelaki yang Aunty Jua
sebutkan. “Oh… rasanya saya dah jumpa dah orang tu Aunty Jua.”
“Dia dengan kamu ke?”
“Tak saya dah nampak dah siapa nama Oliver
tu.”
“Kamu kenal dengan dia?”
“Taklah Aunty Jua, nanti kalau Aunty jumpa
dia fahamlah…”
“Okay, apa-apa jelah. Kamu pakai kereta apa?
“Mini Cooper warna kuning.”
“Okay, nanti dalam lima minit lagi Aunty
sampai ya?”
“Okay, see you later.”
Sejurus dimatikan perbualan dengan ayat
tersebut, Meor Salih keluar daripada kereta mahu mencari jejaka Oliver berbaju
hitam Tertoleh-toleh kepalanya mencari lelaki berbaju T hitam tadi.
Rupa-rupanya si Oliver itu sedang berdiri
sambil bersandar di sebelah pintu keluar IKEA, sedang membelek telefon bimbit.
Pemuda itu memakai beg pek hitam yang
hanya sesuai jikalau mahu pergi meredah hutan atau mendaki gunung. Berseluar
denim dan berkasut kanvas kelabu.
Melihat daripada warna kulit pemuda itu, Meor Salih
agak keliru. Melayu ke? Bisik hati Meor Salih. Tapi nama macam orang putih. Terus
Meor Salih bergerak mendapatkan pemuda itu.
“Hello.” Tegur Meor Salih menyentuh bahu
pemuda tersebut. Oliver memandangnya.
“ Bang, Oliver kan?” tegur Meor Salih. Menanggalkan
cermin mata hitam bagi memudahkan komunikasi antara dia dan Oliver.
“Kalau dah baca t-shirt ni, memang ya aku
Oliver. Ada apa ya?”
“Kenal Aunty Jua kan?”
“Aunty Jua yang tuan rumah tu ke? Bro ni Meor
Salih lah ni?”
“Nak jawab mana satu soalan ni?”
Oliver tergelak kecil.
“Aunty Jua kata minta tumpang bro. Boleh ke?”
Meor Salih mengangguk,”Boleh… boleh, kereta
saya kat sana tu. “
“Tak susahkan awak?”
“Tak, lagipun kita pergi satu arah kan?”Mereka
berdua memanjangkan langkah ke kenderaan Meor Salih.
“Pergh.. Mini Cooper klasik!” Oliver
kekaguman apabila ternampak Mini Cooper
klasik dihadapannya.
“Alah.. tak lah klasik sangat. Adalah yang
dah ubahsuai sebab dah lama sangat kereta ni”
“Susah kut nak tengok orang bawak kereta
macam ni, lagi-lagi nak jaga bertahun-tahun. Meor Salih nak tarik perhatian apa
pakai cat warna kuning?”
“Tarik perhatian? Buat apa? Er.. beg pek awak
tu letaklah belakang.” Arah Meor Salih pada Oliver. Pemuda itu menurut.
“Perempuan suka tengok lelaki pakai Mini
Cooper. Lagi-lagi yang klasik.”
“Buat apa tadi dalam IKEA?” Tidak mahu
mengupas isu tentang wanita, Meor cepat-cepat mengubah topic perbualan mereka.
Mereka berdua masuk ke perut Mini Cooper. Sementara menantikan kedatangan Aunty
Jua, Meor menghidupkan kenderaan supaya pendingin hawa berfungsi. Cuaca panas
di luar memang melemaskan.
“Oh… sampai awal tadi. Saja tengok-tengok
sebab dah lama tak pergi. Er.. nak karipap?
Panjang jugak nak beratur kat dalam tadi.”
Agak teragak-agak dia nak mengambilpemberian
Oliver apabila pemuda tersebut menceritakan kepayahannya nak membeli karipap
IKEA. Ini ikhlas ke tak ikhlas nak bagi ni?
“Tak apalah. Saya kenyang lagi.” Tak
menganjal, dia menolak pemberian Oliver.
“Meor Salih dari mana ni?”
“Perlis. “
“Tu dia bak hang! Awat tak cekiaq awal-awal!”
Oliver tanpa disangka-sangka mengubah dialek. Muka senang Meor Salih berubah
mencuka.
“Awat hang dari utara jugak ka?”
“Tak.. saja jer.” Tersengih-sengih Oliver.
Muka teruja Meor Salih terus berubah. ”Untuk
pengtahuan Oliver, tak lawak.”
“Oh..okay. Maaflah kalau tak rasa lawak.”
Terus sengihan pemuda tersebut mati.. Malu sendiri kerana gurauan yang dibuat
tidak menjadi. Karipap yang ada ditangan dimakan. Kelakuan Oliver sekarang buat
Meor Salih berasa bersalah pulak.
“Oliver pulak, asal mana?”
“Pahang.”
Meor Salih membuka mulut, mahu mengusik Oliver dengan dialek dari Pahang. Namun bila
difikirkan dialek yang selalu digunakan orang Pahang, itu buatkan Meor Salih
terkedu dengan mulut terbuka. Orang Pahang ada dielek ke?
“Orang Pahang ada dialek ke?”
“Ada aje” Jawab Oliver pendek sambil megunyah.
“Tak pernah dengar pun.”
“Orang luar jarang nak dengar.”
“Oh… betul jugak.” Meor Salih
terangguk-angguk perlahan. Terus mereka senyap seribu bahasa. Mendengar lagu
yang diputarkan di siaran radio kini. Suasana didalam Mini Cooper kuning
tersebut sangat pelik. Walaubagaimanapun, keadaan janggal itu tiba-tiba
dipecahkan dengan ketawa kedua-dua jejaka tersebut.
“Dari Sabah sampai ke Johor kita tahu
dialeknya kecuali Pahang, satu patah pun tak pernah nak dengar!” Ucap Meor
Salih sambil menahan ketawa di perut.
Begitu
juga Oliver. Sampai dia tersedak dengan karipap IKEA tersebut. Kelam-kabut Meor
Salih membantu pemuda tersebut menepuk belakang Oliver yang terbatuk-batuk
akibat tersedak karipap tadi.


Comments
Post a Comment