Rae, Wadi dan Maya. 1
RAE. R-A-E. Sebutannya bukan seperti
perkataan Inggeris ‘rare’ tetapi ‘ra-e’. Seorang pemuda biasa yang kita akan
lihat dihadapan kaunter pembayaran kedai serbaneka. Tidak gempal dan tidaklah
pula se sasa mana, tidak rendah dan tidaklah pulak setinggi mana. Lelaki biasa
dengan rambut ikat kuda merapikan kekemasan diri. Itulah Rae the average guy.
Dari luaran kita akan nampak Rae seorang yang sinikal dan sombong.
Sebagai contoh;
“Terima kasih, bang.” Kau kutip baki duit syiling sambil senyum manis pada
dia setelah habis urusan pembayaran di kaunter.
Dia takkan sebut sama-sama dan membalas senyuman kau pun. Dia akan
menjeling dengan muka jelik. Kemudian menyambung kerja dia melayan pelanggan
belakang kau pula. Kau pula, panas hati tak mahu lagi pergi ke kedai
serbaneka 7-Eleven kawasan Bandar kau
ini.
Disebabkan hal itu, Bos serba salah nak berhentikan Rae si average guy
kita ini sebab dialah pekerja yang terbaik. Datang kerja tak pernah lambat
masukkan punch card. Habis masa kerja sentiasa tepat. Kerja mengemop lantai dan
lap cermin serah pada dia. Tidak sampai sejam, kedai serbaneka 7-Eleven ini
akan berkilat berseri-seri.
Tahu masalah itu, Rae buat keputusan untuk
bekerja pada waktu shif malam dari 11 malam sehinggalah 7 pagi.
Yalah, waktu shif malam kurang pelanggan jadi kuranglah pelanggan panas
hati. Lagi kuranglah susah hati boss.
Nak dimulakan kisah, kerja shif malam memang membosankan. Tiada
pelanggan. Hanya dia dan seorang pekerja yang suka curi tulang. Kalau tiada
pelanggan dia akan susun barang ke rak jualan. Yang pencuri tulang pulak,
lantaklah peduli apa Rae. Cukup bulan dia dapat gaji dah cukup untuk dia.
Pelanggan datang dua tiga kali saja satu malam. Dua tiga kali juga dia
pernah menjadi cashier untuk ahli kumpulan kongsi gelap. Bagaimana dia boleh
tahu?
Tengah malam-malam buta ada ke yang keluar pakai segak dalam sut hitam?
Samseng kongsi gelap saja yang pakai begitu, lagi-lagi daripada cacahan kulit
yang dia boleh lihat di leher mereka.
Paling dia selalu nampak kumpulan kongsi gelap yang mempunyai tattoo
seperti rantai choker bewarna hitam di leher mereka. Ringkas juga tattoo
gangster zaman sekarang, tak payah mahu bertatoo naga, harimau atau pun singa
besar-besar satu badan seperti Yakuza di
Jepun.
Dengar daripada mulut pelanggan mereka, itu kumpulan bertatoo begitu
yang berkuasa bertapak di Bandar ini.
Rae tidak risau jika mereka datang sebab bukan setiap masa keluar taring perangai samseng mereka. Jadi tidaklah
dia kisah.
Tapi paling Rae tidak suka ialah, p-e-r-o-m-p-a-k. Perompak yang tiada
angina tiada ribut, tiba-tiba sergah depan muka Rae dengan hala pisau pada dia. Waktu malam-malam
buta begini memang tak da kerja nak cari nahas dengan orang.
Sebab pertama kenapa dia tidak suka perompak, mereka menyusahkan. Ambil
duit orang, cederakan orang tak bersalah kemudian buat sepah kedai pula. Ambil
sajalah duit tak payahlah buat orang lain kena buat dua kali kerja.
Sebab kedua;
Pernah sekali datang seorang lelaki ni semasa kerja shif malam Rae
seorang diri, berhoodie di kepala, masuk
terus menuju ke tempat peti minuman. Dia mengambil sekotak susu lalu
menuju pada kaunter pembayaran. Rae membuat rutin scan bar kod untuk memeriksa
harga sekotak minuman.
Seusai Rae sebut harga yang perlu dibayar, Rae sedar sesuatu; pemuda
berhoodie dihadapannya nampak resah. Tangan masih tersorok pada kocek baju
panas dan masih tak mengeluarkan dompet mahupun duit untuk dibayar.
Rae pandang tepat pada mata pemuda dihadapannya. Lelaki itu tiba-tiba
mengeluarkan sepucuk pistol kemudian dihalakan pada muka Rae.
Rae terkaku sekejap kerana nak cuba memahami situasi yang dihadapinya.
Bila sedar sekarang kedai serbaneka ini dirompak, Rae dengan tenang membuka
mesin kira duit
Si perompak perhatikan Rae kini sedang membuka
mesin kira duit
“Kau nak duit, kan? Nah amik pergi jauh-jauh jangan ganggu kedai ni.”
Belum sempat perompak dihadapannya mengarahkan untuk berikan duit, Rae sudah
mengeluarkan duit dari mesin duit dengan tenang. Siap dimasukan dalam beg
plastik lagi kartun susu yang diambil.
“Apasal kau tak takut?”
“Buat apa nak takut dengan orang tak ada masa depan. Dah dapat duit kan?
Pergi jauh dari sini.”
Perompak tu bengang dengan kata-kata Rae. Tak semena-mena dia tepis dan
tolak segala barang jualan yang tersusun berdekatan kaunter. Kemudian menempik
untuk menakutkan Rae.
“ Sekarang takut?”
“Aku baru kemas barang dekat rak tu!” Mengharapkan si cashier takut
namun ini bukan yang dia harapkan. Cashier dihadapannya berteriak marah sebab
si perompak telah menyepahkan rak jualan.
“Apasal tak takut?” Si perompak
hairan. Ditendang sekuat tenaga rak jualan, terus rak jualan jatuh berdebuk
dengan segala produk bersepah.
“Kau pergi dari sini, jangan harap nak amik duit ni!” Dihalau perompak
tu keluar. Bengang sungguh bila melihat barang tersusun cantik diatas rak telah
bersepah di lantai, dia menyimpan kembali wang ke dalam mesin duit.
“Hoi! Bagi duit tu pada aku!” Terkejut dengan tindakan Rae. Pantas si
perompak tersebut menghalakan muncung pistol pada Rae. Rae tidak gentar, dia
terus menyusun wang yang terdapat dalam plastic tadi kembali ke dalam mesin
kira “Bagi duit tu pada aku kalau tak
aku tembak!” Ugut si perompak.
“Its done, aku akan tolong bayarkan air kotak ni. Kau boleh pergi dari
sini.” Walau ada muncung pistul menuju padanya Rae dengan tidak gentar langsung
melakukan urusannya.
“Apasal kau tak takut?!” Sungguh hairan perompak tengok Rae langsung tak
beralih dari arah muncung pistol. Daripada dia keluarkan pistol ini dihadapan
Rae, riak si cashier ini tiada gentar langsung. Wajah Rae merah menahan marah
yang membakar di dada. Kedua belah tangan tergenggam erat menahan rasa yang
terbuar-buar kini.
“Aku tak takut sekarang, aku tengah marah. Kau takkan suka tengok aku
marah.”
Si perompak tergelak mengejek. “Kau nak jadi hulk ke?”
“Tak.” Tiba-tiba mata Rae terbuka
luas, biji matanya bertukar merah semerah biji saga. Mulut yang tergetap
menahan marah tiba-tiba menjadi seringai. Gigi yang tersusun rapi berubah
bentuk menjadi ronggang dengan gigi-gigi taring tajam nan memanjang. Mata si
perompak terbuntang.
Tapi apa yang lagi menakutkan ialah kepala Rae tiba-tiba terpisah dari
badan. Si perompak terkaku. Pistol yang tadi lurus menghala pada Rae kini
terlepas jatuh ke jubin lantai. Menggigil tangan dan satu badan melihat segala organ dan isi perut yang terburai
keluar daripada leher pemuda cashier di depannya kini.
Sebab kedua mengapa Rae tidak suka perompak adalah mereka suka buat Rae
marah. Bila Rae marah bukan jadi Hulk tapi PENANGGAL!
= = = ==== = = =


Comments
Post a Comment