4 Cups of Coffee. 2



Sebuah kenderaan Mini Cooper klasik bewarna kuning telah memasuki kawasan parkir luar bangunan IKEA  Damansara. Di dalam perut kereta tersebut seorang pemuda sedang berbual di telefon. Kedengaran si pemandu mengiyakan saja apa yang dikatakan orang yang beradadi hujung sana.
  “Ya Tok, satni Meor buat. Meor baru sampai ni Tok, tak nak buat sekarang?” Pemuda berambut ekor kuda terangguk-angguk solah-olah wanita yang dia bercakap ada di tempat penumpang. Masih memakai kaca mata hitam bundarnya sebagai penapis silauan matahari, saat tangannya mula menanggalkan tali pinggang keledar.
  “Hang jangan megheka (bergaduh) dengan bos hang tu Meor. Susah nanti hang jugak yang kena.”
  “Ya Tok.. ya Tok.. “
“Hang dengar ke dok apa Tok cakap ni?”
“Ya Tok! Nanti haktu yang Tok cakap tu, sat ni Meor buat.”
 “Apa yang Tok nak, Meor Salih?”
Tertelan airliur sendiri, dia sendiri pun tidak dengar apa yang dibebelkan Tok tadi. Makin panjanglah bebelan Tok nya nanti. Tangannya mengetuk cermin pintu berulang kali.
  “Eh.. Tok! Aunty Jua dah mai dah ni!” Meor Salih berdusta. Tapi itu saja cara nak melepaskan diri daripada bebelan panjang Tok. Belum Tok yang dihujung talian habis bercakap dia tergesa-gesa memberi salam dan memutuskan talian. Dan akhirnya dia mampu bersandar melepaskan nafas lega.
  Namun dalam rasa leganya, dia tetap rasa bersalah selepas bertindak begitu. Mematikan perhubungan macam tadi dengan orang lebih tua memang tindakan yang tidak hormat. Tapi lagi lama dilayan wanita tua itu lagi panjang perbualannya. Walau berjela-jela bebelan Tok tu, dia tetap nenek terbaik yang Meor Salih ada.
  Sambil menunggu si tuan rumah, dia bersandar di bahagian pemandu. Bibir tipisnya menyanyi kecil mengikut lagu rancak yang berputar di radio sambil  memerhatikan  pengunjung yang keluar masuk ke bangunanan IKEA. Matanya tertarik pada sebuah keluarga yang baru keluar dari bangunan IKEA.
  Si suami menolak troli berisi barangan perabot jenama buatan Sweden sambil berbual mesra dengan isteri yang berjalan seiring dengannya. Manakala anak lelakinya menarik troli yang di tolak si suami. Mendesak ibu bapanya pantas bergerak. Si suami tergelak tengok tingkah si anak. Tingkah laku mereka membuatkan dirinya tercampak dalam kenangan lama. Dia tersenyum tipis.
  Namun perkara itu hanya untuk seketika, perhatian Meor Salih tiba-tiba teralih pada seorang lelaki berbaju t hitam. Di bahagian hadapan baju T tersebut tertulis - My Name Is Oliver.
  Mata Meor Salih memicing kecil. Dia sangat hairan, kehairanan dengan masyarakat kini. Sewaktu kecil bukan main liat tak mahu pakai name-tag di sekolah ini bila besar, datang trend t-shirt macam itu terhegeh-hegeh nak pakai. Sungguh dia tidak faham.
  Telefon di tangannya tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan lain sedang masuk. Bila ditatap skrin telefon. Nama Aunty Jua terpapar. Pantas dia menjawab.
  “Hello Aunty Jua?”
  “Meor, awak kat mana?”
  “Dah ada depan parking IKEA ni. Tempat yang Aunty Jua minta tunggu.”
  “Okay.. you stay there.”
   “Okay..okay..” Meor mengangguk-angguk.
  “Tapi kan Meor.. Boleh tak kalau ada orang nak tumpang kamu pergi sana jugak?” Tiba-tiba si tuan rumah di sebelah sana mengutarakan permintaan.
  “Er.. Aunty ke nak tumpang?”
  “Tak… dia ni salah seorang penyewa jugak. Nama dia Oliver. Aunty minta dia tunggu kat situ jugak.”
  Meor Salih teringatkan akan jejaka berbaju T hitam yang dia perhatikan tadi. Dia merasakan itulah lelaki yang Aunty Jua sebutkan. “Oh… rasanya saya dah jumpa dah orang tu Aunty Jua.”
  “Dia dengan kamu ke?”
  “Tak saya dah nampak dah siapa nama Oliver tu.”
  “Kamu kenal dengan dia?”
  “Taklah Aunty Jua, nanti kalau Aunty jumpa dia fahamlah…”
  “Okay, apa-apa jelah. Kamu pakai kereta apa?
  “Mini Cooper warna kuning.”
  “Okay, nanti dalam lima minit lagi Aunty sampai ya?”
   “Okay, see you later.”
  Sejurus dimatikan perbualan dengan ayat tersebut, Meor Salih keluar daripada kereta mahu mencari jejaka Oliver berbaju hitam Tertoleh-toleh kepalanya mencari lelaki berbaju T hitam tadi.
  Rupa-rupanya si Oliver itu sedang berdiri sambil bersandar di sebelah pintu keluar IKEA, sedang membelek telefon bimbit. Pemuda itu memakai beg pek hitam  yang hanya sesuai jikalau mahu pergi meredah hutan atau mendaki gunung. Berseluar denim dan berkasut kanvas kelabu.
   Melihat daripada warna kulit pemuda itu, Meor Salih agak keliru. Melayu ke? Bisik hati Meor Salih. Tapi nama macam orang putih. Terus Meor Salih bergerak mendapatkan pemuda itu.
  “Hello.” Tegur Meor Salih menyentuh bahu pemuda tersebut. Oliver memandangnya.
 “ Bang,  Oliver kan?” tegur Meor Salih. Menanggalkan cermin mata hitam bagi memudahkan komunikasi antara dia dan Oliver.
  “Kalau dah baca t-shirt ni, memang ya aku Oliver. Ada apa ya?”
  “Kenal Aunty Jua kan?”
  “Aunty Jua yang tuan rumah tu ke? Bro ni Meor Salih lah ni?”
  “Nak jawab mana satu soalan  ni?”
  Oliver tergelak kecil.
  “Aunty Jua kata minta tumpang bro. Boleh ke?”
  Meor Salih mengangguk,”Boleh… boleh, kereta saya kat sana tu. “
  “Tak susahkan awak?”
  “Tak, lagipun kita pergi satu arah kan?”Mereka berdua memanjangkan langkah ke kenderaan Meor Salih.
  “Pergh.. Mini Cooper klasik!” Oliver kekaguman  apabila ternampak Mini Cooper klasik dihadapannya.
  “Alah.. tak lah klasik sangat. Adalah yang dah ubahsuai sebab dah lama sangat kereta ni”
  “Susah kut nak tengok orang bawak kereta macam ni, lagi-lagi nak jaga bertahun-tahun. Meor Salih nak tarik perhatian apa pakai cat warna kuning?”
  “Tarik perhatian? Buat apa? Er.. beg pek awak tu letaklah belakang.” Arah Meor Salih pada Oliver. Pemuda itu menurut.
  “Perempuan suka tengok lelaki pakai Mini Cooper. Lagi-lagi yang klasik.”
  “Buat apa tadi dalam IKEA?” Tidak mahu mengupas isu tentang wanita, Meor cepat-cepat mengubah topic perbualan mereka. Mereka berdua masuk ke perut Mini Cooper. Sementara menantikan kedatangan Aunty Jua, Meor menghidupkan kenderaan supaya pendingin hawa berfungsi. Cuaca panas di luar memang melemaskan.
  “Oh… sampai awal tadi. Saja tengok-tengok sebab dah lama tak pergi. Er.. nak karipap?  Panjang jugak nak beratur kat dalam tadi.”
  Agak teragak-agak dia nak mengambilpemberian Oliver apabila pemuda tersebut menceritakan kepayahannya nak membeli karipap IKEA. Ini ikhlas ke tak ikhlas nak bagi ni?
  “Tak apalah. Saya kenyang lagi.” Tak menganjal, dia menolak pemberian Oliver.
  “Meor Salih dari mana ni?”
  “Perlis. “
  “Tu dia bak hang! Awat tak cekiaq awal-awal!” Oliver tanpa disangka-sangka mengubah dialek. Muka senang Meor Salih berubah mencuka.
  “Awat hang dari utara jugak ka?”
  “Tak.. saja jer.” Tersengih-sengih Oliver.
  Muka teruja Meor Salih terus berubah. ”Untuk pengtahuan Oliver, tak lawak.”
  “Oh..okay. Maaflah kalau tak rasa lawak.” Terus sengihan pemuda tersebut mati.. Malu sendiri kerana gurauan yang dibuat tidak menjadi. Karipap yang ada ditangan dimakan. Kelakuan Oliver sekarang buat Meor Salih berasa bersalah pulak.
  “Oliver pulak, asal mana?”
  “Pahang.”
  Meor Salih membuka mulut, mahu mengusik  Oliver dengan dialek dari Pahang. Namun bila difikirkan dialek yang selalu digunakan orang Pahang, itu buatkan Meor Salih terkedu dengan mulut terbuka. Orang Pahang ada dielek ke?
  “Orang Pahang ada dialek ke?”
  “Ada aje” Jawab Oliver pendek sambil megunyah.
  “Tak pernah dengar pun.”
  “Orang luar jarang nak dengar.”
  “Oh… betul jugak.” Meor Salih terangguk-angguk perlahan. Terus mereka senyap seribu bahasa. Mendengar lagu yang diputarkan di siaran radio kini. Suasana didalam Mini Cooper kuning tersebut sangat pelik. Walaubagaimanapun, keadaan janggal itu tiba-tiba dipecahkan dengan ketawa kedua-dua jejaka tersebut.
  “Dari Sabah sampai ke Johor kita tahu dialeknya kecuali Pahang, satu patah pun tak pernah nak dengar!” Ucap Meor Salih sambil menahan ketawa di perut.

  Begitu juga Oliver. Sampai dia tersedak dengan karipap IKEA tersebut. Kelam-kabut Meor Salih membantu pemuda tersebut menepuk belakang Oliver yang terbatuk-batuk akibat tersedak karipap tadi.

Comments

Popular Posts